Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 kepada 8.2 juta penerima bermula hari ini | DagangNews Skip to main content

Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 kepada 8.2 juta penerima bermula hari ini

Pembayaran itu akan dibuat kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui BSN. - Gambar NSTP

KUALA LUMPUR 29 Jan - Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 kepada 8.2 juta penerima, bermula hari ini.

 

Pembayaran itu akan dibuat kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat, mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

 

Menurut MOF sebelum ini, kerajaan telah menaikan bayaran STR Fasa 1 kepada RM500 bagi penerima kategori isi rumah  berpendapatan RM2,500 dan ke bawah, berbanding bayaran maksimum RM300 tahun lepas.

 

Bagi isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 pula, penerima layak menerima RM100 hingga RM300, lapor Bernama.

 

 

STR

 

 

Dalam pada itu, penerima bagi kategori warga emas tiada pasangan dan golongan bujang masing-masing akan menerima RM150 dan RM100. 

 

Sementara itu, dalam catatan di laman facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akur bahawa kesulitan kenaikan harga barang merupakan masalah utama yang membelenggu sebilangan besar rakyat.

 

"Hatta, saya berharap peningkatan bayaran yang ketara ini dapat meringankan beban kalian.

 

"Kerajaan MADANI beriltizam untuk memberi rakyat sejagat kehidupan yang bermaruah. Kunci kestabilan negara terletak kepada kesaksamaan dan keadilan sosial seperti yang didamba dalam kerangka Ekonomi MADANI.

 

"Saya berharap penerima-penerima STR Fasa 1 ini dapat memanfaatkan sebaiknya bantuan ini," ujar Anwar.- DagangNews.com