Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Trend pembelian dari rumah dilihat akan terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan jualan Nestlé (Malaysia) Berhad (Nestlé) pada suku-suku akan datang.
MIDF Research berkata, jangkaan itu dinilai kepada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 yang masih dijalankan di negara ini.
"Kami juga berpendapat kos operasi akan terus tinggi dalam jangka masa terdekat kerana langkah berjaga-jaga yang diambil bagi memastikan operasi tidak terganggu.
"Kami menjangkakan pemulihan pada separuh kedua tahun kewangan 2021 akan lebih baik berbanding separuh pertama," jelas MIDF Research.
Dalam pengumuman semalam, Nestlé mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM552.71 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, merosot berbanding RM672.91 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020, keuntungan bersih syarikat tersebut meningkat kepada RM132.49 juta berbanding RM131.82 juta tahun sebelumnya.
Baca: Nestlé untung RM132.49 juta pada Q4, naik 0.5%
Dalam pada itu, MIDF Research membuat semakan semula terhadap anggaran pendapatan Nestlé bagi tahun kewangan 2021/2022 kepada -8.8% dan -8.4%.
Semakan itu dinilai kepada jangkaan margin operasi yang mengalami tekanan dalam jangka masa terdekat.
Pihak turut berpendapat bahawa kesan wabak mungkin terus berlanjutan hingga separuh pertama 2021.
Sementara itu, CGS-CIMB Research meletakkan jangkaan syarikat tersebut akan melancarkan lebih banyak produk makanan berasaskan tumbuhan.
"Nestlé sedang menjalankan percubaan produk dengan perancangan untuk melancarkan produk bagi segmen luar rumah (HORECA) dalam fasa awal akhir suku pertama 2021.
"Syarikat tersebut juga menyasarkan untuk mula mengeluarkan barangan penggunaan rumah pada suku kedua 2021.
"Produk berasaskan tumbuhan Nestlé berkemungkinan akan dijual dengan jenama Harvest Gourmet yang di pasaran APAC tertentu seperti Australia," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com