Pembelian kereta terpakai Proton lebih mudah dengan PCPO | DagangNews Skip to main content

Pembelian kereta terpakai Proton lebih mudah dengan PCPO

Proton Cerified PreOwned (PCPO)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Syarikat kereta nasional, Proton Holdings Bhd. (Proton) memperkenalkan satu laman web baharu sebagai cara mudah untuk membuat pembelian kereta terpakai jenamanya.

Dikenali sebagai Proton Cerified PreOwned (PCPO), laman web berkenaan membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat tentang stok daripada 36 pengedar di seluruh negara serta tukar beli kenderaan untuk menerima tawaran hebat bagi pembelian model Proton baharu. 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pengenalan program atau laman web berkenaan adalah langkah seterusnya yang diambil Proton dalam membina ekosistem yang menyeluruh.

"Pihak syarikat akan terus melancarkan produk baru tetapi pada masa sama, kita juga akan menarik perhatian mereka yang ingin membeli kereta terpakai serta menawarkan cara senang dan cepat bagi pelanggan menukar beli kereta. 

"Semua kereta PCPO diberi jaminan tambahan selama setahun bagi bahagian enjin dan kotak gear serta khidmat servis percuma yang boleh ditebus sehingga enam bulan selepas tarikh pendaftaran," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Proton Cerified PreOwned (PCPO)

 

Pemprosesan kereta tukar beli pelanggan secara cekap adalah kunci kepada pengekalan kadar jualan kereta baharu bagi PROTON.

Bermula dengan hanya lapan pengedar, program PCPO kini mempunyai 36 pengedar secara keseluruhannya. 

Setiap pengedar perlu memenuhi syarat dari segi kewangan dan praktikal serta bersetuju mengambil langkah yang diperlukan untuk menyediakan stok tukar beli mereka sebelum dijual. 

Contohnya, setiap kereta perlu menjalani pemeriksaan menyeluruh 201-mata serta diberi bateri, minyak enjin dan penapis minyak yang baharu.

Keperluan lain bagi kereta PCPO adalah mesti berumur kurang daripada tujuh tahun dan mempunyai jarak tempuh tidak melebihi 130,000km semasa di tukar beli. 

 

Proton Cerified PreOwned (PCPO)

 

Kereta itu juga mesti bebas daripada kerosakan disebabkan oleh banjir atau kemalangan besar yang mungkin mempengaruhi kekuatan struktur kereta. 

Tambah beliau, jenama kereta lain yang ditukar beli juga akan dijual oleh PROTON di laman web PCPO, bagaimanapun  jaminan tambahan tidak akan diberikan kepada kereta tersebut dan hanya akan menerima pemeriksaan menyeluruh dan dibaik pulih sebelum ditawarkan kepada pelanggan. 

“Selain daripada membantu jualan kereta baru, tujuan bahagian UCM PROTON adalah untuk menstabilkan dan meningkatkan nilai kenderaan Proton secara beransur-ansur. 

"Kami berharap dengan menawarkan kereta terpakai berkualiti tinggi, harga kereta terpakai Proton juga akan meningkat secara keseluruhan dan ini akan memberi kesan kepada pemilik dari segi mendapat kadar pinjaman kewangan yang kompetitif dan nilai tukar beli yang tinggi bila mereka ingin membeli kereta yang baharu,” tambahnya lagi. - DagangNews.com