Pemberian dana Gamelan diteruskan ikut kesesuaian norma baharu - MOTAC | DagangNews Skip to main content

Pemberian dana Gamelan diteruskan ikut kesesuaian norma baharu - MOTAC

Nancy Shukri

Nancy Shukri.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 April - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Tourism Malaysia akan meneruskan pemberian Dana Galakan Melancong Malaysia (Gamelan).

 

Ia bertujuan untuk kempen promosi dan pemasaran sektor pelancongan dalam dan luar negara bagi meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia sekali gus merancakkan kembali sektor pelancongan domestik.

 

Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan penyambungan semula peruntukan khas program Gamelan yang masih berbaki sebanyak RM3,086,180 bagi kegunaan program sepanjang tahun 2021.

 

"Garis panduan Gamelan juga turut ditambah baik bersesuaian dengan norma baharu pasca COVID-19 bagi mengaktifkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya yang terjejas teruk dengan mengambil kira aspek promosi pelancongan secara digital.

 

"Turut dipinda ialah siling peruntukan untuk setiap syarikat yang dinaikkan dari RM200,000 ke RM300,000. Bagi promosi dalam dan luar negeri, juga masing-masing dinaikkan kepada RM20,000 dan RM30,000," katanya dalam satu kenyataan.

 

Program Gamelan yang diperkenalkan pada 9 Julai 2019 lalu, dengan peruntukan sebanyak RM5 juta telah ditangguhkan pada tahun lepas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020.

 

Mengulas lanjut, Nancy memberitahu, prosedur permohonan dan pembayaran juga akan dipermudah dengan mengambil kira pelaksanaan yang lebih sesuai berdasarkan situasi semasa. 

 

Katanya, ia turut melibatkan aktiviti promosi digital seperti penyertaan pameran pelancongan dan misi jualan secara maya termasuk webinar serta video produk pelancongan menerusi platform dalam talian.

 

"Pihak yang layak memohon Gemelan ialah agensi dan persatuan pelancongan berdaftar, pengusaha penginapan, persatuan beli-belah, pelancongan berasaskan komuniti (CBT), kelab/persatuan yang mempromosikan produk minat khas (niche) serta lain-lain aktiviti pelancongan berkaitan.

 

"Walau bagaimanapun, pertimbangan permohonan adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikemas kini dari semasa ke semasa," ujar beliau lagi. - DagangNews.com