KUALA LUMPUR 5 Okt - Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai akan meningkatkan kapasiti pendendalian daripada 4 juta penumpang kepada 5 juta penumpang setahun.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peranan dan kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai telah berjaya menarik syarikat domestik dan asing untuk menjalankan perniagaan, mewujudkan jaringan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada penduduk Johor.
Beliau berkata, terdapat sebilangan besar perniagaan perindustrian, komersial dan teknikal tertumpu di kawasan sekitar lapangan terbang seperti Senai Airport City.
"Ini terbukti dengan jumlah pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) yang dianggarkan lebih daripada RM9.4 billion," katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan penyempunaan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini.
Projek naik taraf itu melibatkan pembesaran kawasan balai pelepasan baharu seluas lebih kurang 1,690 meter persegi.
Ia dilengkapi dengan kemudahan seperti lima pintu berlepas baharu, tempat duduk tambahan, lot-lot kedai, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (Flight Information Display System), tangga, lif, eskalator, bilik air (wanita, lelaki, dan kelainan upaya), sistem pemadam api, sistem penyiaran awam, penyaman udara, laluan penumpang berbumbung, sistem kamera litar tertutup (CCTV), sistem Wi-Fi dan papan tanda.
Pengerusi Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (SATSSB), Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pihaknya teruja untuk terus berkongsi dan menawarkan pengalaman lapangan terbang yang lebih selesa kepada para penumpang agar mereka dapat menikmati perjalanan yang lancar.
“Penyempurnaan pembesaran lapangan terbang ini adalah bukti komitmen kami dalam membantu merancakkan ekonomi negeri Johor sebagai hab pelancongan dan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi, di samping Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menjadi pintu masuk ke Johor," katanya.
Sejak pengambilalihan operasi, SATSSB telah melabur lebih daripada RM620 juta untuk menaik taraf dan meningkatkan kemudahan dan infrastruktur operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Lapangan terbang ini, telah menyaksikan pertumbuhan yang ketara daripada 800,000 penumpang setahun pada 2003, kepada 4.27 juta penumpang tahun 2019.
Pada masa yang sama Lapangan Terbang Antarabangsa Senai turut menawarkan perkhidmatan dan kemudahan seperti kompleks kargo, Pembaikan Penyelenggaraan Pesawat dan Baik Pulih (MRO), logistik dan gudang, Zon Perindustrian Bebas Lapangan Terbang Senai serta Jet Peribadi dan Perniagaan di Senai Business Aviation Terminal.
Kini, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai mempunyai sejumlah 17 destinasi yang menghubungkan ke bandar-bandar domestik dan lima bandar antarabangsa - Jakarta, Surabaya, Bangkok, Ho Chi Minh City dan Canton. - DagangNews.com