Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 19 Mac. - Nilai pembiayaan Agro-Youth Entrepreneur Scheme (Agro-YES) hasil inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Agrobank dinaikkan hingga RM500,000.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, nilai ditingkatkan berbanding sebelumnya iaitu RM200,000 bagi setiap permohonan.
“Ini mengambil kira keperluan modal permulaan yang tinggi bagi memulakan projek pertanian dengan penggunaan teknologi moden dan aplikasi Internet of Things (IoT).
"MAFI telah memperuntukkan RM21 juta bagi pembiayaan Agro-YES ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Agro-Yes di Wisma Tani semalam.
Semua Agropreneur Muda yang telah menjalankan projek pertanian dan beroperasi lebih 12 bulan layak untuk memohon untuk mendapatkan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi setiap permohonan.
Pembiayaan melalui Agrobank itu menawarkan kadar faedah yang sangat minimum iaitu sebanyak 2% setahun.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Agro-YES merupakan antara inisiatif MAFI menerusi Agrobank untuk menarik lebih ramai golongan muda yang berusia 18 sehingga 40 tahun menceburi bidang pertanian.
Katanya, produk Agro-YES membuka peluang untuk membantu meningkatkan pendapatan usahawan muda melalui peningkatan produktiviti pengeluaran, kualiti, teknologi dan inovasi hasil pertanian.
“Produk Pembiayaan Agro-YES direka khas bagi membantu usahawan muda dalam membangunkan pertanian sedia ada mereka ke tahap yang lebih kompetitif seiring dengan teknologi internet kebendaan (IOT).
“Proses birokrasi dikurangkan dalam rantaian permohonan dan tempoh masa pemprosesan dikurangkan daripada dua bulan kepada 14 hari sahaja,” katanya lagi.
Agro-YES adalah produk yang dijenamakan semula dari Pembiayaan Khas Agropreneur Muda.
Pada tahun 2020, seramai 1,159 orang telah mendapat bantuan geran dan pembiayaan di bawah Agropreneur Muda berjumlah RM23 juta berbanding 764 orang pada tahun 2019 yang berjumlah RM13.7 juta.
Sementara itu, Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, usaha Agrobank dalam menggerakkan dan memajukan sektor petanian negara sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.
Katanya, dalam memakmurkan sektor pertanian di Malaysia, pelbagai usaha telah dijalankan Agrobank bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
"Menerusi pelancaran produk, Agrobank berharap pembiayaan ini akan dapat membantu golongan muda menceburi perniagaaan berasaskan agro dan sekali gus menjana pendapatan yang progresif, berdaya saing, kreatif dan inovatif," ujar beliau. - DagangNews.com