Pembinaan kilang baharu Smart Paints suntik pelaburan RM100 juta di Perak   | DagangNews Skip to main content

Pembinaan kilang baharu Smart Paints suntik pelaburan RM100 juta di Perak  

Fasa pertama bernilai RM50 juta itu ialah pembinaan fasiliti baharu berkeluasan 37,000 meter persegi dijangka mencipta 200 peluang kerja.

IPOH 25 Julai - Perak menerima pelaburan sebanyak RM100 juta apabila syarikat Smart Paints Manufacturing Sdn. Bhd. (Smart Paints) membina kilang baharu di kawasan Perindustrian Bemban, Batu Gajah.

 

Ia juga merancakkan sektor industri hiliran berasaskan sumber mineral batu kapur sekali gus menggalakkan lagi pengkayaan sumber mineral tersebut.

 

InvestPerak dalam kenyataan memaklumkan, fasa pertama bernilai RM50 juta itu ialah pembinaan fasiliti baharu berkeluasan 37,000 meter persegi dijangka mencipta 200 peluang kerja.

 

Menurut kenyataan itu, fasiliti tersebut yang dijangka siap tahun hadapan adalah bagi pengeluaran antara 20 hingga 24 juta liter padu cat setahun.

 

"Gabungan pengeluaran di sini dengan fasiliti Smart Paints sedia ada di Johor bakal meningkatkan permintaan kira-kira 10 peratus pengeluaran cat hiasan negara.

 

"Pembinaan fasiliti baharu ini juga sejajar dengan visi Smart Paints untuk menjadi antara tiga syarikat pengeluar utama cat di Malaysia," ujar kenyataan tersebut.

 

Pembangunan kilang ini akan dilengkapi dengan kemudahan teknologi terkini berasaskan revolusi perindustrian keempat menjadikan Smart Paints sebagai syarikat pengeluar cat pertama yang mengguna teknologi Industri 4.0 sepenuhnya di Malaysia.

 

Dalam pada itu kata InvestPerak, kerajaan negeri sangat menghargai usaha dan hasrat pihak Smart Paints untuk membangunkan kilang baharu mereka di sini.

 

Ia juga akan memanfaatkan sumber bahan mentah batu kapur dan kalsium karbonat yang banyak terdapat di negeri Perak untuk dibuat proses nilai tambah bagi pengeluaran produk akhir.

 

"Walaupun Perak dilimpahi pelbagai sumber mineral seperti batu kapur, pasir silika, kuarza, tanah liat dan lain-lain, kebanyakan sumber ini hanya dilombong dan dibawa keluar tanpa proses nilai tambah bagi pengeluaran produk bermutu tinggi," kata kenyataan itu.

 

Justeru, usaha bersepadu antara InvestPerak, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan digembleng bagi mengenalpasti pelabur-pelabur berpotensi dalam sektor industri mineral. - DagangNews.com