KUALA TERENGGANU 15 Dis - Industri pembuatan bot tradisional buatan tangan dari Pulau Duyong di Terengganu mampu menjadi daya tarikan pelancongan terkenal dunia jika ia terus dipulihara melalui beberapa inisiatif terancang oleh pelbagai pihak terutama jabatan dan agensi kerajaan.
Meskipun terpaksa bersaing dengan teknologi pembuatan bot yang semakin moden dan canggih, permintaan untuk memiliki bot tradisional tetap ada sepanjang masa kerana keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri.
Pembuat bot nelayan tradisional, Yusof Nawi, 52, berkata, walaupun harga bot itu lebih mahal berbanding bot moden, tempahan yang diterima tidak pernah surut kerana kualiti bot yang diperbuat daripada kayu cengal itu lebih tahan lama di lautan dan strukturnya lebih kukuh berbanding bahan binaan lain.
Menurutnya, kebanyakan pembuat bot tradisional di Pulau Duyong mewarisi kemahiran itu secara turun temurun tanpa sebarang pendidikan formal yang lain.
"Ramai pelancong dari luar negara datang ke sini untuk melihat sendiri proses pembuatan bot tradisional ini.
"Ada yang sanggup berkampung sehingga berbulan-bulan untuk membuat dokumentari mengenai proses ini kerana mereka mengkagumi kehalusan seni pembuatan bot tradisional ini yang dikatakan tidak terdapat di negara lain," katanya ketika ditemui DagangNews.com baru-baru ini.
Kebanyakan tempahan yang diterima oleh pembuat bot tradisional itu adalah dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Alaska, England, Itali, Perancis, Denmark, Australia, New Zealand, Algeria, Kanada dan Singapura.
Yusof berkata, sejak tahun 2016, dia telah menyiapkan lebih 10 bot nelayan tradisional yang berukuran antara 18 hingga 20 meter dengan anggaran kos RM600,000 sebuah yang turut dilengkapi enjin.
Bapa kepada lima anak itu berkata, kebiasaannya dia mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan sebuah bot kerana pembinaannya memerlukan kemahiran yang sangat teliti tanpa sebarang lakaran khusus.
"Ia dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan pelanggan dan saya membuatnya berdasarkan kemahiran yang ada hampir 35 tahun dalam industri pembuatan bot nelayan tradisional yang diwarisi dari ayah.
"Saya juga berminat untuk menurunkan ilmu pembuatan bot tradisional ini kepada sesiapa sahaja yang berminat kerana ia adalah satu kepakaran yang perlu diangkat martabatnya dan berpotensi menjadi tarikan pelancongan terkenal dunia," katanya.
Sementara itu, Penolong Kurator Maritim Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Muhammad Shadiy Khalaf Ahmad berkata, industri pembuatan bot tradisional yang masih wujud di beberapa perkampungan pesisir Sungai Terengganu perlu dipertahankan dan dipulihara kerana ia adalah warisan seni peninggalan nenek moyang yang sangat berharga.
Beliau berkata, ketika ini masih terdapat beberapa individu yang mempunyai kemahiran untuk membuat bot nelayan tradisional itu di Pulau Duyong, Pulau Ketam dan Kampung Batin di Seberang Takir.
"Keunikan senibina bot nelayan tradisional di Terengganu adalah warisan teknik tradisinya seperti kemahiran bertukang tanpa menggunakan pelan terlebih dahulu, malah mereka dapat menandakan paras air semasa ia belum lagi di bawa masuk ke dalam sungai atau laut.
"Penggunaan kulit kayu gelam pula adalah sebagai penebat air yang digunakan hingga sekarang.
"Kulit kayu ini akan diletakkan atau dilapik antara papan-papan dinding. Sifat semula jadi kulit kayu gelam akan mengembang apabila terkena air dan secara tidak lansung akan merapatkan papan dinding supaya air tidak akan masuk ke dalam bot," katanya.
Jelasnya, lokasi Terengganu di persisiran Laut China Selatan menjadikan industri maritim berkait rapat dengan masyarakatnya yang menggunakan perahu besar untuk berdagang ke seluruh nusantara dan menangkap ikan.
"Ia turut menjadikan Terengganu khususnya Pulau Duyong sebagai pusat pembuatan bot terkenal dengan beberapa identiti yang menjadikan ia terkenal dalam kalangan pedagang negara lain.
"Keistimewaan bot tradisional Terengganu antara lainnya ialah penggunaan teknik pasak menggantikan paku besi kerana ia tidak sesuai kerana mudah berkarat.
"Selain itu, hampir keseluruhan proses pembuatan bot tradisional menggunakan kayu cengal kerana sifatnya keras dan tidak mempunyai tekstur yang mudah retak," katanya yang optimis industri itu akan mampu menarik kedatangan pelancong ke Terengganu melalui beberapa strategi yang akan dilaksanakan kerajaan pada tahun depan. - DagangNews.com