Pembukaan E-Fulfilment Centre Xin Hwa di Shah Alam penuhi permintaan logistik e-dagang | DagangNews Skip to main content

Pembukaan E-Fulfilment Centre Xin Hwa di Shah Alam penuhi permintaan logistik e-dagang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac - Penyedia perkhidmatan logistik bersepadu, Xin Hwa Holdings Berhad berjaya membuka kemudahan terbaharunya, E-Fufilment Centre di Shah Alam bagi memenuhi permintaan logistik e-dagang.

 

Bangunan yang terletak di tepi Lebuhraya ELITE itu berada dalam jarak kurang 30 kilometer dari Pelabuhan Klang dan ia merangkumi ruang pejabat setinggi tujuh tingkat serta gudang simpanan setinggi tiga tingkat dengan keluasan binaan 300,000 kaki persegi.

 

Pengarah Urusan Xin Hwa, Ng Aik Chuan berkata, pelaburan serta kerja keras sejak mula terlibat dengan perniagaan gudang penyimpanan serta pengedaran sejak 2007 mula membuahkan hasil menerusi pembukaan pusat tersebut.

 

"Menerusi pembukaan kemudahan itu, ia bukan sahaja akan membantu Xin Hwa mengembangkan perkhidmatan gudang simpanan tetapi juga meluaskan jangkauan perkhidmatan pengangkutan darat kepada pelanggan E-Fulfilment Centre.

 

"Ia juga membuka pintu kepada segmen pelanggan baharu kami. Kemudahan baharu ini juga menyediakan perkhidmatan kepada platform beli-belah dalam talian terkemuka Malaysia dan syarikat logistik e-dagang antarabangsa termasuk syarikat berstatus unicorn terbesar di China ," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pusat berkenaan lebih menyerlah berbanding gudang konvensional yang lain kerana ia memenuhi keperluan pada kuantiti yang banyak selain pakej bersaiz kecil untuk dihantar menggunakan trak bagi memenuhi aktiviti e-dagang.

 

centre

 

Selain itu, kemudahan ini juga mempunyai beberapa lif penghantar terbina dalam untukmengangkut barang antara tingkat, yang mempercepatkan pergerakan barangan di dalam gudang.

 

Aik Chuan berkata, pembukaan kemudahan itu adalah bertepatan dengan perkembangan pasaran e-dagang sejak bermulanya pandemik COVID-19 dan permintaan untuk kemudahan itu sangat menggalakkan dengan pihaknya sudah berjaya mendapatkan penyewa berprofil tinggi yang telah memenuhi tingkat bawah bangunan dan 80% tingkat satu kemudahan itu.

 

Beliau berkata, sebahagian daripada tingkat dua sudah mula digunakan dan pihaknya sedang berbincang dengan beberapa penyewa berpotensi untuk masuk pada hujung April 2022.

 

"Kami yakin bahawa kemudahan ini akan memacu perkembangan syarikat dan memberikan nilai tambah kepada pemegang saham kumpulan.

 

"Pada masa sama, kami menjangkakan akan berlaku peningkatan permintaan selepas sempadan antarabangsa negara akan dibuka pada 1 April 2022 ini," katanya. - DagangNews.com