KUALA LUMPUR 25 Mac - Pembukaan semula sempadan darat antara Malaysia dan Singapura berkuat kuasa 1 April ini dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan akan merangsang pemulihan dalam sektor penerbangan di rantau ini secara berperingkat-peringkat.
Ia menyaksikan pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.
Penganalisis CGS-CIMB Research, Raymond Yap berkata, penarikan balik keperluan kuarantin akan memudahkan perjalanan dua hala dengan negara-negara lain yang juga telah mengambil langkah yang sama.
Katanya, ini termasuklah United Kingdom yang telah memansuhkan keperluan kuarantin sejak 2021 diikuti Kemboja (15 November 2021), Thailand (1 Februari 2022), Filipina (10 Februari 2022), India (14 Februari 2022), Australia (21 Februari 2022), Arab Saudi (5 Mac 2022), Vietnam (16 Mac 2022), Indonesia (22 Mac 2022) manakala Korea Selatan dan Singapura (1 April 2022).
"Kami menjangkakan syarikat penerbangan akan melancarkan lebih banyak laluan dari destinasi tersebut (seperti di atas) berikutan wujudnya permintaan apabila Malaysia melonggarkan sekatan perjalanan masuk.
"Keperluan kuarantin di Asia Utara termasuk Hong Kong (dari 14 hari dikurangkan kepada 7 hari mulai 1 April) diikuti Taiwan (10 hari), China (21 hari) dan Jepun (3 hingga 7 hari), mungkin diliberialisasikan akhir tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka 1 April 2022, tanpa kuarantin dan ujian saringan
Pembukaan sempadan antara Malaysia dan Singapura itu diumumkan dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, semalam.
Keputusan itu dibuat sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik COVID-19 yang turut mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek, dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua buah negara.
Bagaimanapun, menurut Yap, pelancong mungkin mengambil langkah berhati-hati terutama dengan persekitaran pandemik COVID-19 yang masih wujud.
"Kami berpendapat, perjalanan membabitkan perniagaan mungkin tidak akan pulih dengan cepat memandangkan syarikat mengambil langkah menjimatkan kos yang mana ia boleh dilaksanakan secara dalam talian (Zoom/Team).
"Bagi pelancong pula, mereka perlu mempertimbangkan kos tambahan sekiranya dijangkiti di luar negara dan menghalang mereka untuk pulang ke negara masing-masing," jelasnya.
Mengambil kira semua faktor berkenaan, CGS-CIMB mengulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor penerbangan dengan pilihan utamanya ialah saham Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Capital A Bhd.
Ia memberi saranan 'tambah' kepada MAHB dengan harga sasaran (TP) RM7.05 kerana pembukaan semula sempadan akan memberi manfaat kepada kumpulan.
"Namun, Capital A, sebaliknya berdepan dengan tekanan daripda kos bahan api yang lebih tinggi dan persaingan harga daripada pemain sedia ada dan baharu, justeru, kami mengekalkan saranan 'kurang' dengan TP 19 sen," katanya. - DagangNews.com