Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 24 Dis - Akibat bencana banjir yang melanda negara ketika ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil keputusan untuk menangguhkan pembukaan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 selama seminggu kepada 9 dan 10 Januari 2022.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sesi persekolahan penggal ketiga itu pada mulanya dijadualkan bermula pada 2 dan 3 Januari ini namun pihak kementerian mengambil keputusan untuk menaangguhkannya bagi memberi ruang kepada murid, ibu bapa dan guru-guru yang terjejas.
"Banjir di seluruh negara ini melibatkan ramai murid, ibu bapa dan guru secara langsung dan tidak langsung.
"Ada juga sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan ada juga yang terjejas teruk akibat bencana ini.
"Oleh itu KPM mengambil keputusan untuk menangguhkan sesi persekolahan penggal ketiga 20221/2022 selama seminggu iaitu pada 9 Januari 2022 untuk negeri-negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 10 Januari 2022 untuk negeri-negeri Kumpulan B (Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Putrajaya, Labuan, Pahang, Sabah, Sarawak, Perlis dan Pulau Pinang)," katanya menerusi satu rakaman video di Facebook rasminya.
Radzi berkata, KPM amat prihatin dengan kebajikan murid-murid, ibu bapa dan guru-guru yang terjejas akibat banjir itu dan ini adalah masa yang sangat sukar buat mereka.
Katanya, mereka memerlukan masa untuk lakukan persiapan untuk kembali memulakan sesi persekolahan dan sebarang keputusan yang dibuat KPM adalah selepas mengambil kira kepentingan semua pihak. - DagangNews.com