KUALA LUMPUR 21 April - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Tan Sri Dr. Ali Hamsa, bekas Ketua Setiausaha Negara ke-13 yang meninggal dunia hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Dublin, Ireland.
Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan, Allahyarham telah menabur jasa dan bakti selama berkhidmat dan pemergiannya merupakan kehilangan besar buat negara.
"Mendapat perkhabaran sedih di atas pemergian Tan Sri Dr. Ali Bin Hamsa, bekas Ketua Setiausaha Negara ke-13, yang telah kembali ke Rahmatullah pagi ini 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadan 1443H.
"Mewakili Keluarga Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan ini.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah," katanya.
Ismail Sabri berkata, Allahyarham merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara dari tahun 2012 hingga 2018 dan seorang tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata, pemergian Allahyarham pada Ramadan yang mulia adalah satu kehilangan besar kepada negara dan perkhidmatan awam.
"Mewakili seluruh warga Perkhidmatan Awam Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Dr Ali Hamsa, yang kembali ke rahmatullah pada hari ini, 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadan 1443H di Hospital Dublin, Ireland.
"Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya.
Mohd Zuki berkata, Allahyarham merupakan tokoh besar dalam Perkhidmatan Awam Negara.
"Beliau merupakan anak jati Johor serta dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13, menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1981," katanya.
Menelusuri sejarah gemilang perkhidmatan Allahyarham, beliau telah menabur bakti di pelbagai Kementerian dan Jabatan, antaranya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi, INTAN, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri. - DagangNews.com