PUTRAJAYA 30 April - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail sebagai kehilangan besar buat negara.
Perdana Menteri mendapat perkhabaran sedih di atas pemergian bekas Menteri Pertahanan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen, 94 yang menghembuskan nafas terakhir 8.43 malam tadi, 29 April 2022 bersamaan 28 Ramadan 1443H.
''Mewakili Keluarga Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan ini.
''Allahyarham bukan sahaja seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan tetapi juga veteran UMNO yang sangat dihormati,'' kata Ismail Sabri dalam perutusannya menerusi laman Facebook rasmi beliau.
Selain Menteri Pertahanan (1987-1990), antara jawatan lain yang pernah disandang oleh Allahyarham dalam kerajaan termasuk Menteri Hal-Ehwal Luar Negara, Menteri Perdagangan dan Industri serta Menteri Penerangan.
''Dalam arena politik, Allahyarham yang dikenali sebagai Ku Deen pernah menjadi Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
''Sesungguhnya, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara.
''Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com