Pemerkasa mungkin lonjakkan hasil bon Malaysia lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Pemerkasa mungkin lonjakkan hasil bon Malaysia lebih tinggi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Mac - Kadar hasil bon Malaysia, Sekuriti Kerajaan Malaysia/Terbitan Pelaburan Kerajaan (MGS/GII) dijangka terus meningkat dalam masa terdekat didorong oleh unjuran kadar hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) (UST) yang kian menokok.

 

Dalam masa sama, kadar hasil bon Malaysia juga mungkin dilonjakkan lebih tinggi lagi oleh Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (Pemerkasa) yang dijangka dibiayai oleh terbitan lanjut MGS/GII.

 

Menurut Kenanga Research, para pelabur juga mungkin mengambil pendekatan berhati-hati terhadap semakan semula FTSE Russell ke atas bon Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia.

 

“Kami masih lagi menjangkakan pasaran hutang akan terus menarik permintaan asing dalam masa terdekat, ketika perbezaan hasil yang lebih tinggi.

 

“Tebaran secara margin kadar hasil MGS-UST 10 tahun menyusut kepada 173 mata asas (bps) daripada 175 bps pada minggu lalu, dengan purata (margin tebaran) Februari pada kadar 164 bps,” jelas Kenanga dalam nota kajiannya.

 

Tambah Kenanga, kadar hasil MGS dan GII kebanyakannya meningkat pada minggu lalu kecuali MGS tiga  tahun, 15 tahun dan 30 tahun di mana bergerak antara -6.1 bps hingga -1.9 bps. 

 

Katanya lagi, MGS 10 tahun menokok 11.1 bps untuk mencecah 3.486% pada Isnin lalu, sebelum ditutup lebih rendah pada 3.448%.

 

“Permintaan terhadap MGS/GII bercampur-campur pada minggu lalu, memandangkan kedua-duanya berdepan tekanan berat daripada kadar hasil UST lebih tinggi, tetapi disokong oleh aktiviti pemburuan murah dan mungkin melonjakkan permintaan pelabur asing. 

 

“Namun, kadar hasil kembali meningkat pada penghujung minggu itu ekoran UST 10 tahun melepasi paras 1.70% dan susulan pengumuman Pemerkasa bernilai RM20 bilion, di mana mencetuskan kebimbangan terhadap terbitan MGS/GII yang dijangka meningkat,” tambah Kenanga.

 

Pada pengumuman Pemerkasa minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan menerbitkan Sukuk Lestari berjumlah tidak kurang daripada AS$1 bilion bagi menyokong matlamat negara untuk menjadi hab kewangan lestari.

 

Baca : Sukuk Lestari AS$1 bilion bakal dilancar 

 

Katanya, hasil daripada sukuk berkenaan bertujuan membiayai program dan projek yang mempunyai elemen kelestarian di samping menangani kesan sosio-ekonomi akibat wabak COVID-19.

 

Baca : Fiskal kerajaan tidak terbeban dengan Pemerkasa

 

CGS-CIMB Research meramalkan, hasil daripada terbitan Sukuk Lestari itu juga mungkin digunakan bagi menampung perbelanjaan tambahan di bawah Pemerkasa. - DagangNews.com