Pemerkasa positif, tapi perlu ada strategi jangka panjang - IDEAS | DagangNews Skip to main content

Pemerkasa positif, tapi perlu ada strategi jangka panjang - IDEAS

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Pengumuman pakej rangsangan baharu, Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (Pemerkasa) yang bernilai RM20 bilion disifatkan positif untuk menyasarkan bantuan kepada mereka yang memerlukan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

 

Namun, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) melihat terdapat isu-isu berkaitan penstrukturan yang telah lama terdedah dan terjejas akibat pandemik COVID-19 perlu ditangani dengan strategi jangka panjang. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh bimbang sekiranya Malaysia hanya menumpukan pada langkah jangka pendek, negara mungkin menghalang matlamat jangka panjang untuk menjadikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih inovatif, tangkas, dan bertahan pada pasca COVID-19.

 

“Sebagai contoh, kajian kami ke atas sektor pelancongan mendapati industri itu sememangnya berdepan masalah utama sebelum pandemik lagi.

 

“Oleh itu, kami menantikan strategi pemulihan jangka panjang dan berharap Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) akan menyediakan hala tuju konkrit buat ekonomi Malaysia,” katanya dalam sebuah kenyataan.

 

Menerusi kenyataan sama, IDEAS menyokong pengumuman Pemerkasa, bagaimanapun institut itu menggesa kerajaan untuk mengambil langkah yang lebih berani berdasarkan skala cabaran dihadapi oleh rakyat Malaysia ketika ini.

 

Ujarnya, skala sokongan tambahan secara keseluruhan agak rendah apabila mempertimbangkan banyak perbezaan cabaran yang cuba ditangani oleh pakej berkenaan.

 

Disebabkan itu, Yeoh menegaskan, siri-siri sokongan kecil itu dilihat tidak lebih daripada usaha merapatkan jurang bagi jangka masa pendek, justeru, menggesa pelaksanaan yang pantas dan berkesan.

 

“Pakej-pakej rangsangan sebelum ini menyaksikan suntikan fiskal kerajaan berlegar di bawah 20% daripada jumlah keseluruhan pakej itu. Bagaimanapun, suntikan fiskal Pemerkasa yang bernilai RM11 bilion, lebih daripada separuh nilai Pemerkasa. 

 

“Sehingga kini, pakej-pakej rangsangan bergantung terhadap asas hasil yang berpelbagai daripada Institusi Kewangan Pembangunan kepada Badan Berkanun untuk membiayai inisiatif berkenaan. Peningkatan kebergantungan ini pada suntikan fiskal dalam Pemerkasa memerlukan kelulusan Parlimen memandangkan ia mempunyai kesan ke atas defisit belanjawan,” ujarnya lagi. 

 

Dengan andaian unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 pada pertumbuhan sekitar 7%, Yeoh berkata, pihaknya menjangkakan tambahan suntikan fiskal akan meningkatkan nisbah hutang kepada KDNK mencecah 58%. - DagangNews.com