Pemulih: Pusat asuhan, pengusaha kantin & gym turut terima manfaat | DagangNews Skip to main content

Pemulih: Pusat asuhan, pengusaha kantin & gym turut terima manfaat

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Pusat asuhan anak-anak dan tadika turut tidak ketinggalan menerima manfaat Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang dibentangkan hari ini. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima banyak permintaan supaya bantuan kewangan pada tahun lepas dapat diperkenalkan semula.

 

"Sehubungan itu, kerajaan akan memberikan Bantuan Khas Taska yang berjumlah RM3,000 kepada lebih 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8,000 pengusaha tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan.

 

"Diharapkan dengan pemberian bantuan ini, ia dapatlah digunakan antaranya untuk keperluan sanitasi dan pembelian peralatan nyahkuman bagi memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak yang ditempatkan di pusat asuhan dan tadika," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.

 

Pakej berkenaan bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

 

Pemulih menyaksikan nilai keseluruhan sebanyak RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

 

Selain itu, kerajaan juga mendengar suara pengusaha kantin di sekolah yang masih ditutup dan kehilangan mata pencarian. 

 

.

 

Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 untuk diberikan kepada semua pengusaha kantin berdaftar.

 

Menyentuh berkaitan nasib pengusaha industri sukan, Muhyiddin berkata, kerajaan juga sedar bahawa industri berkenaan turut terkesan dan hanya boleh beroperasi semula seawal fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) nanti.

 

.

 

"Kerajaan sedar bahawa pengusaha industri sukan dan operator arena sukan seperti gym, bowling, futsal dan sebagainya turut terkesan dan mereka hanya boleh beroperasi semula seawal fasa ketiga PPN nanti. 

 

"Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan one-off sebanyak RM3,000 kepada mereka," jelas beliau lagi. - DagangNews.com