Pemulihan air meningkat kepada 1,156 kawasan | DagangNews Skip to main content

Pemulihan air meningkat kepada 1,156 kawasan

air selangor

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Pemulihan gangguan bekalan tidak berjadual kian meningkat kepada 1,156 kawasan yang pulih sepenuhnya setakat pukul 6.30 pagi tadi.

Ketua Pegawai Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor), Elina Baseri berkata, jumlah kawasan yang pulih itu menjadikan peratusan pemulihan meningkat kepada 89.47%.

"Hingga 6.30 pagi hari ini, semua 290 kawasan terlibat di Wilayah Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya.

"Sebanyak 136 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan di empat lagi wilayah iaitu Klang/Shah Alam. Gombak, Petaling dan Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, terdapat lapan kawasan masih belum pulih sepenuhnya meskipun tersenarai dalam kawasan Kumpulan 1 yang sepatutnya pulih pada 12 tengah malam semalam.

Bagi Kumpulan 2 pula, sebanyak 54 kawasan masih belum pulih seperti yang dijangka.

Dari segi peratusan pemulihan, tiga wilayah mencapai pemulihan 100% iaitu Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Peratusan tertinggi itu diikuti dengan wilayah Petaling (95.72%), Gombak (94.89%) dan Kuala Lumpur (85.02%).

Manakala wilayah Klang/Shah Alam masih berada pada kedudukan 59.32%. - DagangNews.com