Pemulihan Capital A mungkin ambil masa lebih lama, dijangka rugi RM242 juta pada FY23 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pemulihan Capital A mungkin ambil masa lebih lama, dijangka rugi RM242 juta pada FY23 - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Okt - Pemulihan Capital A Bhd. dijangka mengambil masa lebih lama memandangkan dinamik bekalan-permintaan dalam sektor penerbangan masih kekal mencabar buat masa ini. 

 

Ini ditambah dengan kelewatan kumpulan untuk mengembalikan semula operasi pesawatnya seperti disasarkan disebabkan kekangan kapasiti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di peringkat global.

 

Penganalisis AmInvestment Bank Research, Lucas Tan Jun Sian berkata, ekoran masalah berkenaan, Capital A telah mengurangkan jumlah operasi kepada 160 pesawat menjelang akhir tahun ini berbanding sasaran 178 pesawat sebelum ini. 

 

Katanya, bagi pesawat yang perlu melalui penyelenggaraan 'C-checks' akan mengambil masa antara empat hingga enam minggu sebelum kembali beroperasi.

 

"Bagaimanapun, penyedia MRO turut mengalami kesesakan kapasiti akibat kekurangan buruh dan gangguan rantaian bekalan.

 

"Mengambil kira operasi pesawat yang lebih rendah ini, kami mengurangkan unjuran bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 22% dan menjangkakan kerugian bersih teras sebanyak RM242 juta pada FY23 berbanding unjuran keuntungan bersih RM138 juta sebelum ini.

 

"Kami juga mendapati pengurangan operasi ini juga akan mengakibatkan tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) akan berkurangan 5% hingga 14% pada FY22 hingga FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Setakat akhir Ogos 2022, kumpulan mengendalikan operasi 108 pesawat, iaitu mewakili separuh daripada kumpulan pesawat disatukan.

 

Jun Sian menjangkakan kumpulan berupaya menerbangkan semua pesawatnya menjelang akhir FY23 sekali gus menyokong pulangan berturut-turut kepada keuntungannya.

 

Dari segi prospek permintaan, beliau mendapati wujud peningkatan membanggakan dalam perjalanan udara secara global, di sebalik penutupan berpanjangan di pasaran utama seperti China yang terus mengeruhkan momentum pemulihan.

 

"Pada masa sama, kami juga bimbang dengan kos bahan api yang masih tinggi berikutan penarikan semula harga minyak baru-baru ini, sebahagian besarnya mengimbangi kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang telah menyusut 10% setakat ini," jelasnya.

 

Mengenai status Nota Amalan 17 (PN17) yang dihadapi Capital A, beliau berkata, kumpulan berada di laluan yang betul untuk melaksanakan pelan penyusunan semula (yang akan diserahkan selewat-lewatnya Januari 2023).

 

Katanya, pelan itu kemungkinan tidak membabitkan cadangan yang akan mengakibatkan pencairan saham seterusnya.

 

"Walaupun kekurangan butiran, kami mendapati inisiatif penstrukturan semula yang mungkin dilaksanakan termasuk menghentikan cadangan penyenaraian syarikat penerbangan dan bahagian digitalnya di pasaran saham AS.

 

"Buat masa ini, kami melihat sentimen pasaran saham global yang tertekan sebagai halangan utama untuk prospek penyenaraian alternatif," katanya.

 

Pada Jun lalu, Financial Times melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes bercadang untuk menyenaraikan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia dan digital super app di New York. 

 

Capital A, sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Group, secara agresif membina perniagaan digital dan super app sejak dua tahun lalu kerana kebanyakan pesawatnya digantung ekoran sekatan perjalanan bagi membendung wabak COVID-19.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Capital A dengan harga sasaran tidak berubah pada 60 sen sesaham.

 

Setakat 9.21 pagi ini, harga saham Capital A kekal tidak berubah pada 63.5 sen dengan 137,800 saham diniagakan. -DagangNews.com