Pemulihan ekonomi tertangguh sebentar, bukan ‘tergelincir' - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pemulihan ekonomi tertangguh sebentar, bukan ‘tergelincir' - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Masih ada ‘sinar’ untuk ekonomi Malaysia pulih sepenuhnya apabila sasaran negara untuk mencapai imuniti kelompok berjaya selain ekonomi di negara-negara membangun lain turut memulih.

 

Pembukaan semula ekonomi di negara-negara membangun dengan kadar vaksinasi yang lebih cepat merupakan salah satu faktor yang dapat mengurangkan tekanan ekonomi dihadapi Malaysia, menurut Maybank Investment Bank Research (Maybank IB). 

 

“Ini ditambah dengan dasar perangsang fiskal dan monetari yang mampan, menyokong pandangan Maybank Kim Eng yang stabil mengenai pertumbuhan ekonomi global pada tahun 2021, pada kadar pertumbuhan 6.1% tahun ke tahun (y-o-y).

 

“Lonjakan permintaan global yang kukuh dan berterusan terbukti dengan harga komoditi dan kadar penghantaran yang kian meningkat, merupakan perkembangan positif besar buat sektor pembuatan yang berorientasikan eksport di Malaysia.

 

“Manfaat yang lebih kukuh dan berkekalan bagi ekonomi Malaysia adalah kemampuan negara untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang berpindah atau dialihkan, ini merangkumi pelabur China asing dan domestik yang ingin mewujudkan pangkalan pengeluaran dan rantaian bekalan 'neutral' di luar China,” jelas Maybank IB dalam satu nota kajian. 

 

Turut menjadi dorongan tambahan adalah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 15 November 2020 yang melibatkan ASEAN-10, China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

 

Maybank IB yang memetik data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjelaskan trend pertumbuhan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) terus ketinggalan di belakang FDI sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

 

“Walaupun jumlah FDI diluluskan (bukan hanya pembuatan) pada 2019 agak tidak berubah pada kadar RM82.4 bilion, namun komposisi berubah secara mendadak, dengan Amerika Syarikat (AS) mengatasi China yang menjadi sumber FDI terbesar.

 

“Namun, China telah menjadi pelabur utama dalam sektor pembuatan, dan ini berterusan pada 2020, menjadikan negara itu menjadi sumber pelaburan asing terbesar dalam sektor pembuatan Malaysia selama lima tahun berturut-turut,” tambah Maybank IB. 

 

Rangsangan infrastruktur dijangka terus memainkan peranan untuk mencapai unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, dipacu oleh 38% peningkatan Belanjawan 2021 dalam perbelanjaan domesik kasar (GDE), berjumlah RM69 bilion. 

 

Maybank IB percaya ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh dasar fiskal yang berkembang menerusi Belanjawan 2021 dan pakej rangsangan ekonomi yang sedang berjalan. 

 

Berdasarkan pemerhatian firma itu, masih terdapat 48% baki daripada jumlah pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah RM380, untuk digunakan bagi sepanjang tahun 2021 selepas 52% dibelanjakan sejak tahun 2020 hingga Mei 2021. 

 

Sementara Belanjawan 2021 masih berbaki RM205 bilion atau 64% daripada jumlah peruntukan perbelanjaan tersebut. 

 

Harga minyak lebih tinggi daripada jangkaan juga akan mewujudkan kapasiti perbelanjaan tambahan buat negara, di mana setiap peningkatan AS$10 setong dalam purata harga minyak mentah tahunan akan meningkatkan hasil cukai minyak sebanyak RM4 bilion dan dividen Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sebanyak RM3.4 bilion. - DagangNews.com