Pemulihan Mynews beransur-ansur, ramal CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Pemulihan Mynews beransur-ansur, ramal CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Mac - Firma penyelidikan menjangkakan Mynews Holdings Berhad akan menyaksikan pemulihan yang beransur-ansur, untuk kembali kepada paras prestasi sebelum COVID-19. 

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB Research menekankan saranan ‘pegang’ ke atas saham Mynews dengan harga sasaran (TP) pada kadar RM0.89 sesaham. 

 

“Ramalan kami tidak berubah memandangkan kami telah mengambil kira kerugian yang bakal dialami oleh bahagian pusat pemprosesan makanannya (FPC) sehingga tahun kewangan 2022 (FY22),” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Pendapatan Mynews bagi suku pertama 2021 (1Q21) menyusut sebanyak 29.8% tahun ke tahun (y-o-y) serta 14.8% suku ke suku (q-o-q), terutamanya disebabkan oleh kehadiran pengunjung yang sangat lemah susulan sekatan pergerakan yang lebih ketat. 

 

Dalam sebuah taklimatnya baru-baru ini, Mynews mendedahkan bahawa jumlah kehadiran pengunjungnya bagi Februari 2021 juga terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya di kawasan Lembah Klang yang merangkumi 80% daripada kedai-kedainya.

 

“Namun, kami mendapati bahawa jualan Mynews melonjak semula pada Mac 2021, sejajar dengan kelonggaran sekatan pergerakan,” tambah CGS-CIMB lagi.

 

Selepas menyaksikan sebanyak 15 penutupan kedainya dalam tempoh 3Q20 hingga 1Q21, Mynews menyasarkan 100 pembukaan kedai baharu bagi tahun kewangan semasa termasuk myNEWS, myNEWS SUPERVALUE dan CU. 

 

Menurut CGS-CIMB, Mynews memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM50 juta bagi pembukaan kedai-kedai itu yang dijangka bermula pada tahun kewangan semasa. 

 

“Kami difahamkan Mynews berhasrat untuk mengembangkan kedudukan kedai jenama myNEWS di luar Lembah Klang, selain menumpukan pada pembukaan kedai jenama CU baharu di kawasan Lembah Klang,” jelas CGS-CIMB lanjut.

 

Sementara itu, FPC oleh Mynews difahamkan beroperasi pada kadar kapasiti 30%, di mana masih kurang optimum kerana penjualan di kedai yang rendah ekoran kehadiran pelanggan yang lemah dan gangguan permintaan.

 

Setakat 11.04 pagi, nilai saham Mynews menokok 2 sen kepada 93 sen. - DagangNews.com