Pemulihan trafik pusat membeli-belah dorong prestasi kukuh InNature | DagangNews Skip to main content

Pemulihan trafik pusat membeli-belah dorong prestasi kukuh InNature

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - CGS-CIMB menjangkakan InNature Bhd (InNature) akan mencatatkan keputusan yang lebih kukuh daripada 4QFY21F dan seterusnya, didorong oleh pemulihan kukuh dalam trafik pusat membeli-belah berikutan musim perayaan yang akan datang. 

 

Menurut firma penganalisis itu, walau bagaimanapun, sumbangan jualan saluran jualan jarak jauh (e-dagang, klik-dan-kumpul, klik-dan-penghantaran, perkhidmatan pembelian melalui orang ke-3) kekal dalam dua digit dalam 4QFY21F. 

 

Katanya, memandangkan pemansuhan langkah sekatan sejak 11 Oktober 2021 dengan perjalanan rentas negeri dibenarkan, pihaknya telah melihat pemulihan trafik yang kukuh ke pusat membeli-belah di mana kebanyakan kedai InNature berada, yang sepatutnya memberi petanda baik untuk prospek pendapatan dengan lantunan semula dalam jejak pengguna ke cawangannya dari 4QFY21 dan seterusnya.

 

"Ini seterusnya menggambarkan peralihan dalam keutamaan pengguna kepada pembelian dalam talian serta strategi saluran omni kumpulan yang mungkin membuahkan hasil dalam menjangkau kumpulan pelanggan yang lebih luas.

 

"Ini menjadikan jumlah sumbangan jualan jarak jauh kepada jualan dalam 9MFY21 kepada 35.4% berbanding 9MFY20 sebanyak 9.5%) di mana satu pertiga daripadanya adalah daripada pasaran e-dagang, seperti Shopee dan Lazada.

 

"Kami memahami bahawa sumbangan saluran jauh kepada jualan adalah minimum sebelum wabak melanda," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu menyasarkan untuk mempunyai aliran hasil yang lebih seimbang antara saluran jualan fizikal dan jarak jauh.

 

CGS-CIMB menaik taraf panggilan Kekal Innature kepada 'Tambah' atas alasan penilaian yang memberangsangkan dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM0.84.

 

"Pemangkin penarafan semula utama kami adalah pemulihan jualan yang lebih baik daripada jangkaan melalui jualan fizikal dan jarak jauh serta margin yang lebih tinggi daripada jangkaan. 

 

Risiko kelemahan pula adalah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan disebabkan varian COVID-19 baharu, yang membawa kepada pemulihan yang lebih lemah daripada jangkaan dan kos operasi yang lebih tinggi," katanya. -DagangNews.com