Penamatan subsidi tidak naikkan harga ayam dengan ketara, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Penamatan subsidi tidak naikkan harga ayam dengan ketara, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Okt - MIDF Research menjangkakan keputusan kerajaan menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam bermula 1 November ini tidak akan menaikkan harga sumber protein itu dengan ketara.

 

Firma penyelidikan itu juga percaya, harga ayam akan dipantau dengan rapi oleh kerjaaan dan ia berada di bawah senarai pemerhatian.

 

Bagaimanapun, katanya, pengekalan subsidi telur ayam akan terus menyokong pengeluar telur dan memastikan harga pasaran telur ayam terus terkawal.

 

MIDF Research berkata, pemasuhan kawalan harga itu memberi penternak ayam lebih fleksibiliti untuk melaraskan harga berdasarkan penawaran pasaran serta dinamik permintaan serta keupayaan bagi menyampaikan peningkatan kos pengeluaran kepada pengguna.

 

Katanya, purata niaga hadapan tiga bulan bagi komoditi utama untuk makanan haiwan ternakan kini didagangkan di bawah paras puncak dua tahun pada 27 Oktober 2023.

 

"Keadaan itu akan mengurangkan kos pengeluaran bagi pengeluar ayam dan telur, memandangkan makanan haiwan merupakan komponen kos pengeluaran yang ketara.

 

"Berdasarkan semakan, kami mendapati bahawa kos pengeluaran untuk penternak berada di bawah harga siling untuk ayam hidup, dan kos pengeluaran untuk pengeluar telur sekurang-kurangnya setanding atau sedikit di atas harga pasaran telur ayam," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kerajaan bersetuju subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuat kuasa Rabu ini bagaimanapun subsidi telur gred A, B, C, akan diteruskan mengikut mekanisme sedia ada..

 

Penamatan subsidi itu adalah selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan.

 

Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu yakin bahawa permintaan terhadap produk ayam akan kekal berdaya tahan memandangkan ia merupakan sumber protein yang paling berpatutan untuk rakyat Malaysia.

 

Selain itu, mereka optimis pengeluar ayam akan mendapat manfaat daripada normalisasi harga komoditi (jagung, tepung kacang soya, minyak sawit mentah dan gandum).

 

"Kami kekal positif terhadap sektor pengguna dengan keutamaan terhadap produk ruji pengguna berbanding barangan lain," katanya.

 

Keadaan itu didorong prospek penggunaan domestik yang kukuh disokong oleh pelbagai insentif yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024, pasaran tenaga kerja yang stabil dan peningkatan aktiviti pelancongan selain margin keuntungan yang lebih baik untuk pengeluar F&B didorong oleh penurunan harga komoditi global. - DagangNews.com