Penangguhan bayaran manfaatkan 1.6 juta rakyat - PM | DagangNews Skip to main content

Penangguhan bayaran manfaatkan 1.6 juta rakyat - PM

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Bagi meringankan beban yang ditanggung oleh semua pihak ketika berdepan pandemik COVID-19, kerajaan memberi inisiatif berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, nilai keseluruhan inisiatif ini dianggarkan berjumlah RM400 juta dan akan memanfaatkan seramai 1.6 juta rakyat.

 

Katanya, bagi membantu para peminjam pendidikan, kerajaan memberi moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam-peminjam PTPTN.

 

Selain itu, katanya, kerajaan juga menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah JPA dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan.

 

"Ia juga melibatkan penangguhan bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah RM100 selama 12 bulan.

 

"Peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) juga mendapat penangguhan pembayaran selama tiga bulan," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan petang ini bagi mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion.

 

Perdana Menteri turut mengumumkan, pemegang polisi insurans dan takaful yang terjejas juga boleh memohon penangguhan pembayaran premium insurans dan sumbangan takaful (secara opt-in) yang akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

 

Jumlah keseluruhan nilai premium dan sumbangan yang ditangguhkan dianggarkan RM2.6 bilion

 

"Inisiatif ini merangkumi pemegang polisi dan sijil insurans hayat dan takaful keluarga. Lebih 1 juta rakyat dijangka memperoleh manfaat daripada lanjutan ini," katanya. - DagangNews.com