Penarafan 'neutral' sektor perbankan dikekalkan - MIDF | DagangNews Skip to main content

Penarafan 'neutral' sektor perbankan dikekalkan - MIDF

Sektor perbankan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. - MIDF Research membuat keputusan untuk mengekalkan penarafan dan saranan 'neutral' terhadap saham sektor perbankan negara.

MIDF Research berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada beberapa jangkaan pihaknya terhadap sektor perbankan khususnya berkaitan moratorium pinjaman.

"Kami mengekalkan pendirian 'neutral' kerana kami menjangkakan pertumbuhan kadar pinjaman bank menjadi sederhana dan apa yang lebih penting ialah kemungkinan berlakunya kemerosotan kualiti aset selepas moratorium pinjaman.

"Tambahan pula, senario semasa terhadap kualiti aset perbankan selepas moratorium pinjaman membuatkan kami lebih berhati-hati," jelas MIDF Research.

Mengulas lanjut berkaitan perkara sama, MIDF Research memberitahu, meskipun sektor perbankan menunjukkan peningkatan yang lebih pantas dalam aspek pinjaman, pihaknya menjangkakan perkara tersebut memerlukan tempoh tertentu untuk bank kembali normal seperti sedia kala.

"Walaupu begitu, kami tidak meramalkan tekanan yang lebih besar terhadap sektor ini dalam mendepani arus perubahan semasa," jelas MIDF Research lagi. 

Sistem pinjaman sektor perbankan meningkat sebanyak 4.4% pada September 2020 kepada RM1.82 trilion berbanding RM1.81 trilion pada Ogos.

Peningkatan itu didorong oleh pinjaman runcit yang keseluruhannya meningkat sebanyak 6.1% kepada RM941.1 trilion berbanding peningkatan 5.7% pada Ogos.

Pinjaman untuk pembelian kereta penumpang menyaksikan peningkatan lebih pantas iaitu 4.2%  kepada RM165.5 bilion.

Sementara pinjaman untuk pembelian hartanah kekal stabil dengan peningkatan 7.5% kepada RM636.5 bilion, manakala pinjaman peribadi meningkat 6.9% kepada RM102.9 bilion. - DagangNews.com