Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 April - Kementerian Sumber Manusia menjangkakan ketidakpadanan antara pekerjaan dan kelayakan akan kekal menjadi antara isu utama yang perlu ditangani dalam pasaran buruh.
Keadaan ini disebabkan jumlah permintaan pekerjaan yang tinggi oleh kategori pencari kerja bukan profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET).
Ini berdasarkan kepada laporan suku tahunan Quarterly Labour Market Perspectives – Modest Labour Market Recovery bagi suku keempat 2020.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, berdasarkan laporan tersebut, bagi keseluruhan 2020, ia menunjukkan pemulihan pasaran kerja bercirikan bentuk 'trapezoid' yang mencerminkan trend pergerakan tidak seimbang di antara pencari kerja dan peluang pekerjaan.
"Keadaan ini memerlukan perhatian serius kerana ia menunjukkan lebihan pencari kerja yang meningkat lebih pantas berbanding pewujudan peluang pekerjaan," katanya dalam kenyataan semalam.
Laporan itu diterbitkan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA).
EU-ERA adalah pusat penyelidikan kolaboratif antara Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), KSM dan Universiti Putra Malaysia Consultancy & Services (UPMCS).
Berdasarkan laporan itu, kadar kehilangan pekerjaan (LOE) dalam kalangan pekerja sektor swasta telah berkurangan manakala, kadar penempatan pekerjaan terutamanya bagi kategori pekerjaan PMET telah meningkat.
Bagaimanapun, penciptaan pekerjaan kategori pekerja bergaji hanya berkembang pada kadar 1.1% berbanding 7.5% pada suku yang sama 2019.
Kategori pekerja bergaji adalah sekitar 77% daripada jumlah tenaga kerja negara pada 2019 dan penciptaan pekerjaan yang lebih perlahan bagi kategori ini dilihat sebagai penyumbang utama kepada kadar pengangguran di Malaysia.
Saravanan berkata, meskipun kementerian mengunjurkan prestasi pasaran buruh yang lebih baik tahun ini, tetapi masih memerlukan intervensi khusus dengan jangkaan kadar pengangguran berada di antara 4.2% dan 4.3%.
"Di sebalik unjuran tersebut, terdapat beberapa isu yang terus mengekang pasaran buruh negara, antaranya kesulitan bagi bakal pekerja untuk mendapatkan pekerjaan, ketidakpadanan pekerjaan-kelayakan, peningkatan pekerjaan tidak formal dan pertumbuhan upah yang lebih perlahan," katanya.
Menurutnya, kementerian akan terus memantau keadaan pasaran buruh dari semasa ke semasa dan pada masa sama, intervensi yang bersesuaian untuk merangsang pemulihan dan memacu kecekapan pasaran buruh akan terus diberi perhatian oleh kerajaan. - DagangNews.com