Pendapatan Bank Islam bagi 1QFY23 berada di bawah unjuran Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Bank Islam bagi 1QFY23 berada di bawah unjuran Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Pendapatan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berada di bawah unjuran dan juga konsensus Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma itu mengurangkan unjuran pendapatan bagi FY23-FY24 sebanyak 4%-6% dan pada masa sama menyemak turun harga sasaran (TP) kepada RM2.05 berbanding RM2.20 sesaham.

 

Berbanding sasaran awal, firma itu berkata, pengurusan mengekalkan sasaran pertumbuhan pembiayaannya sebanyak 7%-8% untuk FY23, tetapi margin faedah bersih (NIM) dianggarkan menurun kepada kira-kira 2.15% daripada panduan awal sebanyak 2.20% (daripada 2.31% pada FY22).

 

"Perbelanjaan operasi (opex) dijangka berkembang 8-9% dengan nisbah kos/pendapatan sebanyak 58% berbanding panduan awal sebanyak 59%.

 

"Sementara itu, kos kredit dijangka meningkat pada 35-40bps berbanding jangkaan awal 40-50bps," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, bank itu merekodkan untung bersih sebanyak RM118.1 juta bagi 1QFY23, meningkat 11.5% berbanding tempoh sama pada 2022.

 

Pendapatan pada suku itu meningkat 42.6 peratus kepada RM1.10 bilion berbanding RM774.0 juta sebelum ini.

 

Pengukuhan pendapatan bersih kumpulan disumbangkan oleh peningkatan pendapatan bukan berasaskan dana yang mengukuh RM60.0 juta atau 132.4 peratus dipacu pelaburan serta laba bersih lebih tinggi daripada transaksi pertukaran asing.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan TP RM2.05 sesaham. - DagangNews.com