Pendapatan Berjaya Food diunjur lebih rendah bagi FY23 akibat perbelanjaan pengguna yang lemah | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Berjaya Food diunjur lebih rendah bagi FY23 akibat perbelanjaan pengguna yang lemah

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Berjaya Food Berhad diunjur mencatatkan pendapatan yang lebih rendah bagi FY23 kesan daripada perbelanjaan pengguna yang lemah selain kos bahan mentah yang lebih tinggi. 

 

CGS-CIMB Research menjangkakan prospek pendapatan lebih lemah kesan penyusutan margin selain menjangkakan saiz urus niaganya menurun apabila permintaan berkurangan.

 

“Ini adalah tambahan kepada tekanan kos input yang lebih tinggi (sebagai contoh ayam, susu, kopi, krimer dan gula) berikutan harga komoditi yang tinggi dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, disebabkan kenaikan gaji minimum yang akan menjejaskan margin.

 

“Perbelanjaan yang lebih lemah pada 2HFY22 boleh mengurangkan permintaan jualan kumpulan kesan daripada inflasi yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 91 sen.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berdepan pelbagai risiko termasuk pengenalan semula sekatan pergerakan kesan daripada barian baharu COVID-19, peningkatan kos operasi dan harga bahan mentah selain perbelanjaan pengguna yang lebih lemah daripada jangkaan kesan daripada inflasi menyebabkan permintaan jualan lebih rendah.

 

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2022, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM40.7 juta didorong oleh hasil yang lebih tinggi sebanyak RM291.3 juta. 

 

Pada penghujung FY22, Berja Food mempunyai sejumlah 356 kedai Starbucks Malaysia (76.4% daripada jumlah kiraan kedai BFood, 85% hingga 88% daripada jumlah hasil) dan daripada jumlah ini, kira-kira 21% adalah kedai konsep pandu lalu.

 

Firma itu berkata, syarikat itu menyasarkan untuk meningkatkan jumlah cawangan pandu lalu antara 30% hingga 40% daripada jumlah keseluruhan cawangan Starbucks dalam dua hingga tiga tahun akan datang.

 

"Ini adalah perkembangan positif kerana konsep pandu lalu biasanya membawa saiz urus niaga purata yang lebih tinggi dan seharusnya memberi kelebihan kepada margin keuntungan mereka.

 

"Kumpulan itu menyasarkan untuk membuka lebih 30 kedai pada FY23 di kawasan bandar dan pinggir bandar bagi meluaskan rangkaian kedainya di seluruh Malaysia khusus di kawasan tumpuan ramai," katanya. - DagangNews.com