Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Nov - Frontken Corp Bhd mencatatkan pendapatan bersih RM27.3 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2021, peningkatan 27.94% berbanding RM21.34 juta pada suku yang sama tahun lalu berikutan peningkatan hasil daripada bahagian semikonduktor serta minyak dan gas.
Menurut kenyataannya kepada Bursa Malaysia, hasil bagi suku tersebut meningkat 23% tahun ke tahun (yoy) kepada RM116.6 juta.
"Perniagaan semikonduktor Taiwan Kumpulan terus menunjukkan pertumbuhan ketara berikutan permintaan kukuh daripada pelanggan, sejajar dengan trend global dalam ruang semikonduktor.
"Perniagaan di Malaysia juga bertambah baik berikutan tempahan baharu bagi penyediaan bekalan tenaga kerja dan perkhidmatan peralatan berputar mekanikal daripada pelbagai kontrak dengan Petronas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun menurut kumpulan itu, anak syarikat Singapura miliknya mencatatkan hasil yang lebih rendah disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja dan kelewatan dalam pesanan pelanggan akibat langkah keselamatan COVID-19.
Dalam ruang semikonduktor, kumpulan itu mengembangkan kapasiti pengeluarannya melalui pembelian kemudahan baharu di Kaoshiung, Taiwan, yang dijangka akan dimulakan pada separuh kedua 2022.
"Kami berharap momentum dalam industri minyak dan gas akan meningkat lagi pada suku keempat tahun ini dan sepanjang 2022, di mana kemudahan yang akan siap tidak lama lagi di Pengerang akan sedia untuk menyokong kontrak pelanggan," katanya. -DagangNews.Com