Pendapatan berulang menara telekomunikasi, OCK Group dijangka kekal pertumbuhan hasil dua digit pada 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan berulang menara telekomunikasi, OCK Group dijangka kekal pertumbuhan hasil dua digit pada 4QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Feb - RHB Investment menjangkakan OCK Group Bhd mengekalkan pertumbuhan dua digit bagi hasil dan pendapatan terasnya pada 4QFY23 didorong hasil kerja di tapak pembinaan selain pendapatan berulang daripada menara telekomunikasi.

 

Katanya, kumpulan itu akan memfailkan keputusannya pada 27 Februari 2024 dan unit perkhidmatan rangkaian telekomunikasi dijangka menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan mereka.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil dan pendapatan setahun penuh kumpulan dijangka mencecah paras tertinggi, dengan unit perkhidmatan rangkaian telekomunikasi (9MFY23: 86% daripada hasil) menjadi penyumbang utama.

 

“Kami tidak menolak kemungkinan diberikan dividen nominal (yang tidak diambil kira oleh konsensus).

 

"Kali terakhir kumpulan itu memberikan dividen adalah pada FY21 berjumlah setengah sen sesaham," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Investment berkata, buku pesanan OCK berjumlah RM250 juta pada akhir Disember 2023, terdiri daripada kontrak bernilai RM105 juta di bawah program Rangkaian Digital Nasional (Jendela) dan RM145 juta yang terdiri daripada projek lain.

 

"Keuntungan dijangka datang daripada anugerah Jendela Fasa 2 yang masih belum diumumkan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, antara faktor positif bagi kumpulan itu bagi FY24 ialah kos pembiayaannya dijangka menurun antara RM14 juta hingga RM15 juta berikutan pembiayaan semula hutang dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) dengan hasil kemudahan sukuk baharunya bernilai RM700 juta.

 

Katanya, sukuk itu juga menawarkan ruang utama pembiayaan untuk projek tenaga boleh diperbaharui/jenis solar baharu yang sedang diusahakannya.

Katanya, unit pajakan menara kumpulan (OCK SEA Towers) bernilai antara RM600 juta hingga RM1.3 bilion, membayangkan peningkatan penilaian 20 sen hingga 85 sen berdasarkan anggarannya. Ia jauh melebihi permodalan pasaran kumpulan sebanyak RM601 juta pada masa ini. - DagangNews.com