Pendapatan diunjur turun, Maybank IB saran 'jual' saham VS Industry | DagangNews Skip to main content

Pendapatan diunjur turun, Maybank IB saran 'jual' saham VS Industry

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan jumlah pendapatan VS Industry Berhad bagi tahun kewangan 2024 turun sebanyak 31 peratus.

 

Menurut firma itu, jualan syarikat itu dijangka menurun susulan permintaan yang rendah daripada pelanggan utama.

 

Katanya, ini boleh menyebabkan pemulihan syarikat lebih perlahan daripada yang disasarkan.

 

"Kami mengubah daripada saranan 'pegang' kepada saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 71 sen sesaham berbanding 83 sen sesaham sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kata Maybank IB, tempahan daripada salah satu pelanggan utama yang turun mendadak pada hujung tahun lalu memberi kesan kepada prestasi syarikat untuk separuh pertama tahun kewangan 2024.

 

Bagaimanapun, katanya, tempahan daripada pelanggan lain masih kekal seperti sebelumnya selain terdapat pengenalan model baharu kepada produk mereka.

 

Maybank IB berkata, pihaknya tetap berhati-hati terhadap VS Industry di tengah-tengah pemulihan syarikat yang tidak menentu.

 

"Usaha berterusan dilakukan untuk menarik pelanggan baru, namun ini hanya dapat dilihat pada hujung tahun 2024.

 

"Cabaran ekonomi global memberikan risiko kepada prospek jangka dekat syarikat," kata nota kajian itu.- DagangNews.com