Pendapatan Duopharma meningkat 2.1% pada 1H20 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Duopharma meningkat 2.1% pada 1H20

Duopharma Biotech Bhd.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pendapatan syarikat Duopharma Biotech Bhd. mencatatkan peningkatan sebanyak 2.1% pada separuh pertama 2020 berbanding tahun lalu.

Menurut CGS-CIMB Research, peningkatan tersebut didorong oleh permintaan yang tinggi terhadap produk penjagaan kesihatan pengguna.

"Keuntungan bersih separuh pertama 2020 adalah RM34.8 juta selepas mengecualikan one-off termasuk penghapusan inventori dan kerugian pertukaran asing yang berpunca daripada pinjaman berbentuk dolar AS.

"Ini melebihi jangkaan yang kami buat iaitu 54% dan 57% yang diramal Bloomberg," jelas CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya hari ini.

CGS-CIMB Research sebelum ini turut menjangkakan pendapatan Duopharma menyusut pada suku kedua 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia.

Pada suku kedua 2020, pendapatan Duopharma menyusut 1.5% berbanding tahun sebelumnya dan turun 9.7% berbanding suku kedua tahun lalu.

Jelas CGS-CIMB Research, penurunan tersebut dipengaruhi oleh permintaan yang rendah dalam sektor kesihatan susulan kekurangan lawatan pesakit bukan kronik semasa tempoh PKP.

Namun, penurunan pendapatan tersebut dilihat tidak begitu ketara seperti yang dijangka CGS-CIMB Research.

Dalam perkembangan lain, Duopharma juga telah mengesahkan tempoh kontrak pembekalan produk farmasi dan bukan farmasi kepada kemudahan kesihatan kerajaan telah dilanjutkan selama 25 bulan.

Lanjutan tersebut bermula pada 1 Disember 2019 hingga 31 Disember 2021.

"Kami jangkakan perkara itu akan memberi jualan yang lebih baik sekurang-kurangnya hingga akhir tahun kewangan 2021 yang turut didorong oleh sumbangan daripada segmen penjagaan kesihatan pengguna," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com