Pendapatan Farm Fresh dijangka lemah pada 1QFY24 akibat kos bahan mentah tenusu kekal tinggi – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Farm Fresh dijangka lemah pada 1QFY24 akibat kos bahan mentah tenusu kekal tinggi – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Pendapatan Farm Fresh Berhad pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) dijangka kekal lemah berikutan kos bahan mentah tenusu berkemungkinan tetap tinggi disebabkan tahap inventori susu sedia ada kumpulan itu belum dikurangkan sepenuhnya, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata pendapatan 2QFY24 sepatutnya bertambah baik seiring dengan kenaikan harga yang diumumkan baru-baru ini untuk produk kategori sejuknya sebanyak 5% berkuat kuasa Julai 2023.

 

Farm Fresh juga menjangkakan purata harga jualan (ASP) susu mentah lebih rendah sebanyak 10 hingga 14% dengan kontrak baharu akan ditandatangani pada akhir Jun 2023 tetapi penjimatan kos input hanya dijangka bermula paling awal pada Ogos 2023.

 

“Oleh itu, kami hanya menurunkan pendapatan FY24 sebanyak 21% namun mengekalkan FY25,” katanya dalam nota hari ini, sambil menambah FY26 diperkenalkan dalam unjuran.

 

Maybank IB telah menurunkan taraf saranan kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’ ekoran cabaran jangka pendek, dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM1.60.

 

Mengulas lanjut tentang keputusan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 yang diterbitkan semalam, firma itu berkata peningkatan kos barangan yang dijual (COGS) mengheret pendapatan kumpulan.

 

“Keuntungan bersih teras suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) sebanyak RM5 juta yang menyusut 78% YoY dan 75% QoQ, membawa keuntungan bersih teras FY23 kepada RM52 juta yang merosot 36% YoY, meliputi anggaran pendapatan setahun penuh kami dan konsensus masing-masing pada 81% dan 77%,” tambahnya.

 

Bagaimanapun, hasil FY23 sebanyak RM630 juta yang mencatat peningkatan 26% YoY adalah sejajar dengan anggaran firma itu pada 103%.

 

Firma itu menjelaskan bahawa ASP susu mentah dan tepung susu penuh masing-masing meningkat 9% QoQ dan 7% QoQ.

 

Sementara itu, pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bagi 4QFY23 menurun sebanyak 69% QoQ memandangkan perbelanjaan pentadbiran meningkat 27% QoQ susulan peningkatan kos buruh dan kos pengambilalihan The Inside Scoop.

 

Setakat pukul 11:00 pagi ini, saham Farm Fresh aktif didagangkan dengan penurunan 11 sen atau 7.1% kepada RM1.44, memberikannya modal pasaran berjumlah RM2.68 bilion. -DagangNews.com