Pendapatan F&N tidak menepati ramalan MIDF  | DagangNews Skip to main content

Pendapatan F&N tidak menepati ramalan MIDF 

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

KUALA LUMPUR 5 Nov - Pendapatan Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) meleset daripada jangkaan yang dibuat oleh MIDF Research dengan hanya menepati 89% anggaran tahun penuh selepas merekodkan RM395.2 juta.

 

MIDF Research berkata, untung bersih F&N bagi suku keempat tahun kewangan 2021 merosot -3.63% tahun ke tahun kepada RM395.2 juta apabila hasil merosot sebanyak -15.4% tahun ke tahun kepada RM896.3 juta. 

 

"Kedua-dua penurunan itu disumbangkan oleh hasil F&N Malaysia yang lebih rendah selepas musim perayaan Hari Raya Puasa dan kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh. 

 

"Penutupan di Thailand dankadar pertukaran MYR/THB yang lebih lemah juga menyebabkan hasil F&N Thailand yang lebih rendah tetapi sebahagiannya dikurangkan oleh hasil eksport yang lebih tinggi disebabkan pesanan baharu yang diperolehi," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

 

Namun menurut MIDF Research, pihaknya menjangkakan dengan pembukaan semula ekonomi di kedua-dua negara akan memberikan sedikit pemulihan terutamanya disebabkan musim perayaan dan cuti yang hampir tiba.

 

"F&N mengatakan eksport sebagai tumpuan utama bergerak ke hadapan untuk F&N Malaysia dan Thailand. Selain itu, angka jangkitan COVID-19 di Thailand telah menurun kepada 7,574 pada 2 November 2021 daripada kemuncaknya pada 22,782 pada 14 Ogos 2021 dan kerajaan Thailand juga telah melonggarkan sebahagian daripada penutupan perniagaan mulai September dengan membenarkan pusat beli-belah beroperasi dan kapasiti 50%-75% di restoran.

 

"Kami fikir ini akan memberi sedikit pemulihan kepada F&N," katanya.

 

Tambah MIDF, syarikat itu telah berkongsi bahawa prestasi tidak mungkin kembali ke tahap pra-pandemik dalam jangka pendek.

 

"Kami berpendapat bahawa prestasi akan meningkat dengan kukuh pada tahun kewangan 22 dan 23 berikutan pembukaan semula ekonomi di Malaysia dan Thailand. 

 

"Ini akan mendorong penggunaan dan terdapat kemungkinan besar bahawa perayaan tahun depan akan disambut dengan lebih terbuka. Kami megekalkan saranan 'Beli' ke atas saham F&N dengan harga sasaran yang disemak semula sebanyak RM 33.07 daripada RM 32.63 sebelum ini," jelasnya. -DagangNews.Com