Pendapatan Glomac bagi FY22 susut 29.3% kepada RM259.49 juta  | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Glomac bagi FY22 susut 29.3% kepada RM259.49 juta 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Untung bersih Glomac Bhd. meningkat 29.3% kepada RM36.49 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2022 (FY22) berbanding RM28.22 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Ini berikutan margin keuntungan yang lebih pada tahun kewangan tersebut, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagaimanapun, pendapatan susut 29.3% kepada RM259.49 juta pada tempoh berkenaan daripada RM366.91 juta, terutamanya disebabkan sumbangan margin yang lebih rendah daripada aktiviti pembangunan hartanah. 

 

Bagi suku keempat berakhir 30 April 2022, untung bersih melonjak kepada RM15.11 juta daripada RM5.46 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan susut 36.6% kepada RM73.59 juta daripada RM116.03 juta.

 

Prestasi pada tempoh itu terjejas akibat sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, tetapi keuntungan telah meningkat sebahagiannya oleh inisiatif penjimatan kos yang dilaksanakan pada tahun kewangan.

 

Menyumbang projek kepada pendapatan FY22 termasuklah pembangunan berterusan Glomac seperti Saujana Perdana, Lakeside Boulevard, Plaza@ Kelana Jaya, 121 Residences, serta Sri Saujana di Johor.

 

Menurut Glomac, apabila ekonomi dibuka semula, kumpulan berusaha untuk meningkatkan aktiviti pembangunannya dengan pelancaran baharu bernilai RM470 juta pada FY23 yang akan kekal tertumpu pada
segmen kediaman pasaran pertengahan mampu milik.

 

Katanya, peralihan kepada fasa endemik dan pembukaan semula ekonomi memberi petanda baik untuk semua sektor, termasuk pembangunan hartanah.

 

"Glomac mempunyai jualan belum dijelaskan berjumlah RM542 juta yang akan memberi pendapatan kepada kumpulan memandangkan aktiviti pembinaan beroperasi semula.

 

"Namun begitu, situasi pandemik COVID-19 masih lagi berada dalam persekitaran kita dan masih terdapat risiko peningkatan kes atau gelombang baharu beserta faktor lain antaranya tekanan inflasi, kenaikan kadar faedah dan ancaman kemelesetan global.

 

"Mengambil kira kebimbangan ini, kami akan terus mengamalkan sikap berhati-hati walaupun kami berusaha untuk mencapai pertumbuhan," jelasnya. - DagangNews.com