Pendapatan HPP Holdings diunjur meningkat dalam masa terdekat didorong produk pembungkusan baharu - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan HPP Holdings diunjur meningkat dalam masa terdekat didorong produk pembungkusan baharu - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Okt - Kenanga Research mengunjurkan pendapatan HPP Holdings Berhad meningkat dalam masa terdekat didorong oleh produk pembungkusan acuan pulpa kertas dengan margin keuntungan keuntungan tinggi. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, produk itu merupakan pengganti kepada produk pembungkusan stryrofoam.

 

Katanya,produk alternatif kepada styrofoam itu dihasilkan daripada bahan kitar semula yang mesra alam. 

 

Ia juga kos efektif bebas daripada cukai alam sekitar yang tinggi yang dikenakan ke atas pembungkusan styrofoam di pelbagai negara.

 

"Terdapat pasaran yang kukuh dan sedia untuk produk baharu daripada pelanggan sedia ada dan baharu memandangkan ia boleh dikitar semula selain memenuhi piawaian alam sekitar Kesatuan Eropah yang ketat dan mengikuti aliran ESG global yang semakin meningkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu menjangkakan pemulihan permintaan daripada pelanggannya dalam ruang elektrik dan elektornik (E&E) apabila mereka mengisi semula inventori mereka, ditambah pula dengan pengenalan produk baharu oleh pelanggan utama.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research menyemak turun keuntungan bersih FY24 kumpulan itu sebanyak 16% bagi mencerminkan kos input produk lebih tinggi dan pada masa sama mengekalkan unjuran bagi FY25.

 

Terdahulu, untung bersih teras 1QFY24 sebanyak RM2.3 juta adalah mengecewakan kerana ia hanya membentuk 14% dan 16% daripada unjuran setahun penuh dan anggaran konsensus setahun penuh.

 

Varians terhadap unjuran itu sebahagian besarnya datang daripada pengambilan yang lebih lemah daripada jangkaan dalam pesanan dan kos input yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 72 sen sesaham. - DagangNews.com