Pendapatan jalur lebar gentian TM dijangka mampan walaupun harga pelan dikurangkan – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan jalur lebar gentian TM dijangka mampan walaupun harga pelan dikurangkan – Maybank IB

KUALA LUMPUR 6 Okt - Langkah Telekom Malaysia (TM) mengurangkan harga pelan jalur lebar gentian runcitnya dilihat sebagai peningkatan kelajuan dan sepatutnya membolehkan syarikat itu mengekalkan pendapatan jalur lebar gentiannya, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB)

 

Maybank IB berkata TM telah menurunkan harga pelan itu terlebih dahulu dan berdasarkan reka bentuk harga, ini dilihat sebagai peningkatan kelajuan dan firma itu tetap berharap sebahagian besar purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) akan dikekalkan.

 

"Semakan semula pelan tersebut juga memerlukan pencari akses untuk komited pada volum lebih tinggi, mungkin menafikan kesan harga unit yang lebih rendah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu, pelan 300 megabait sesaat (mbps) terendah kini hanya tersedia sebagai inisiatif "Rahmah".

 

Di samping itu, pelan 100Mbps diturunkan kepada RM99 sebulan (daripada RM129) bersama-sama dengan tambahan diskaun RM10 sebulan untuk masa terhad, manakala pelan 300Mbps diturunkan kepada RM139 sebulan (daripada RM149).

 

Manakala harga untuk baki pelan berkelajuan tinggi dikurangkan sebanyak 17% hingga 24%.

 

Secara berasingan, TM akan menawarkan peningkatan kelajuan percuma ke peringkat kelajuan seterusnya untuk pengguna sedia ada bagi pelan 800Mbps dan ke bawah, untuk dilancarkan secara berperingkat dalam tempoh tiga bulan akan datang.

 

"TM belum lagi membuat sebarang pengumuman mengenai pemuktamadkan rundingan komersial dengan pencari akses. Kami ambil perhatian bahawa Maxis masih belum membuat sebarang semakan pada harga pakej jalur lebar gentiannya pada masa penulisan.

 

"Pada pandangan kami, semakan produk TM bermakna pencari akses perlu komited kepada volum lebih tinggi, justeru berpotensi mengimbangi kesan harga unit yang lebih rendah.

 

"Kami terus menjangkakan TM mengekalkan sebahagian besar pendapatan jalur lebar gentiannya (kedua-dua runcit dan borong) melalui penawaran pelan berkelajuan tinggi. Pengesahan tesis ini hanya akan menjadi nyata pada separuh pertama 2024, pada pandangan kami,” tambahnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM6.50 sesaham.

 

Setakat pukul 11:07 pagi ini, saham TM tidak berubah pada RM4.91, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM18.8 bilion. - DagangNews.com