Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Peluang pendapatan jangka panjang institusi perubatan KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) mendapat keyakinan dan pandangan positif oleh dua firma penyelidik ekonomi iaitu MIDF Research dan CGS-CIMB Research.
Menurut MIDF Research, pihaknya mengulangi dan terus meletakkan pandangan positif terhadap lintasan pendapatan KPJ Healthcare di masa hadapan.
Jelas MIDF Research, meskipun tahun kewangan 2020 akan menjadi tahun yang mencabar bagi pengendali hospital swasta, namun pihaknya melihat pemulihan dalam aspek Kadar Penggunaan Katil (BOR) selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Walaupun tahun kewangan 2020 akan menjadi tahun yang mencabar bagi pengendali hospital swasta, namun kami melihat pemulihan pasca PKP dari segi BOR meningkat kepada 51% pada suku ketiga 2020 berbanding 34% pada suku kedua 2020.
"Selain itu, peningkatan perkhidmatan perubatan (procedures) yang dijalankan juga meningkat sebanyak 52.0% kepada 22,858 kes pada suku ketiga tahun kewangan 2020 berbanding hanya 3,377 pada April," jelas MIDF Research.
KPJ Healthcare mencatatkan jumlah pendapatan suku ketiga tahun kewangan 2020 sebanyak RM34.0 juta.
Jumlah tersebut menjadikan pendapatan untuk tempoh sembilan bulan pertama 2020 (9M20) adalah RM85.2 juta.
Jumlah pendapatan suku berkenaan menurun -6.1% berbanding tahun lalu disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah oleh hospital-hospital di Malaysia susulan penurunan lawatan pesakit sebanyak -11.0% berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, firma penyelidik CGS-CIMB Research yang turut membuat penilaian positif berkata, pihaknya tetap positif terhadap prospek jangka panjang KPJ Healthcare kerana peningkatan permintaan untuk penjagaan kesihatan domestik.
"Kami tetap positif terhadap prospek jangka panjang KPJ kerana pertumbuhan permintaan penjagaan kesihatan domestik yang stabil, walaupun dengan ketidakpastian jangka pendek
wabak COVID-19.
"Kami tidak membuat perubahan dalam anggaran pendapatan syarikat berkenaan. Kami mengulangi saranan 'tambah' saham KPJ Healthcare dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih tinggi iaitu RM1.15," jelas CGS-CIMB Research.
Sementara MIDF Research pula mengekalkan saranan 'beli' saham KPJ dengan TP bernilai RM1.05. - DagangNews.com