Pendapatan Lee Swee Kiat dijangka kekal teguh didorong penjualan produk, kerjasama Cuckoo – BIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Lee Swee Kiat dijangka kekal teguh didorong penjualan produk, kerjasama Cuckoo – BIMB Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt - Pendapatan Lee Swee Kiat Group Berhad (LSK) dijangka kekal teguh didorong oleh penjualan produk secara langsung kepada pengguna (B2C) dan pelancaran produk yang berjaya dengan kerjasama Cuckoo, walaupun sentimen pengguna lemah.

 

BIMB Securities Research berkata pasaran domestik kumpulan itu kukuh pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), di mana B2C dan kerjasama dengan Cuckoo Napure mencatat pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) masing-masing sebanyak 56.6% dan melebihi 100%.

 

“Oleh kerana trend yang menggalakkan ini, kami menjangkakan segmen domestik LSK menampilkan daya tahan hingga akhir 2023 dan hingga 2024.

 

“Ini disebabkan oleh beberapa faktor, iaitu: 1) pembukaan semula ekonomi sepenuhnya selepas pandemik, 2) pilihan pembelian yang lebih baik, termasuk platform dalam talian, kedai runcit dan skim lanjutan penyewaan (dengan pembayaran ansuran ditingkatkan kepada lima tahun berbanding tiga tahun sebelumnya), dan 3) pengiktirafan jenama yang kukuh dan pangkalan pelanggan daripada kerjasama dengan Cuckoo,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, BIMB Securities berkata walaupun jualan eksport kekal lemah pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), ia percaya segmen itu akan bertambah baik secara beransur-ansur, memanfaatkan lencongan perdagangan ke kawasan Asia (kecuali China) disebabkan ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

 

Menurut firma itu, syarikat di AS dan China menghadapi tarif lebih tinggi yang dikenakan oleh kerajaan masing-masing.

 

Jelasnya, ini telah mengurangkan daya saing eksport China di pasaran AS, sekali gus mewujudkan peluang bagi negara lain untuk mengisi jurang tersebut.

 

“Disebabkan faktor ini, kami menjangkakan segmen ini akan bertambah baik secara beransur-ansur pada masa hadapan, disokong lagi oleh penurunan caj pengangkutan,” tambahnya.

 

Firma itu menyukai LSK kerana ia merupakan pengeluar tilam lateks asli tempatan terbesar, yang memiliki pengiktirafan jenama yang kukuh dan pangkalan pelanggan daripada Cuckoo serta hasil dividen tinggi pada 6%.

 

 

BIMB Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.02 daripada 93 sen sebelumnya selepas melancarkan penilaian untuk FY24.

 

Saham LSK menokok 3 sen atau 4% kepada 78 sen setakat pukul 11:22 pagi ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM130.9 juta.  - DagangNews.com