Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Jumlah pendapatan syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dijangka akan meningkat bagi tahun kewangan 2020 hingga 2022.
Menurut CGS-CIMB Research, jangkaan peningkatan tersebut dibuat berdasarkan kepada empat faktor.
"Malakoff menunjukkan prestasi yang stabil daripada Tanjung Loji kuasa Bin Power (TBP) dan Tanjung Bin Energy (TBE) dengan jangkaan gangguan yang rendah.
"Kedua, pendapatan syarikat sekutu yang lebih tinggi daripada syarikat tenaga dan air iaitu Shuaibah susulan pengiktirafan tambahan 12% ke atas kepentingan ekuiti," jelas CGS-CIMB Research.
Situasi itu juga membantu Malakoff untuk mengimbangi kerugian daripada penjualan Macathur Wind Farm.
Jelas CGS-CIMB Research lagi, jangkaan peningkatan tersebut turut dinilai berdasarkan perolehan pendapatan tambahan daripada keuntungan Alam Flora.
Alam Flora berjaya menyumbang pendapatan tambahan sebanyak RM28 juta pada separuh tahun pertama 2020.
Selain itu, faktor terakhir yang menyokong peningkatan tersebut juga adalah disebabkan oleh kos kewangan yang lebih rendah.
Dalam laporan yang sama, CGS-CIMB Research turut menyatakan keuntungan bersih yang dicatatkan Malakoff pada separuh tahun pertama 2020 adalah seiring dengan jangkaan yang dibuat pihaknya iaitu 67% berbanding 65% yang diramal Bloomberg.
Prestasi yang dicapai Malakoff itu didorong oleh pengurusan kos yang lebih baik daripada jangkaan pada separuh tahun pertama 2020, namun prestasi tersebut berkemungkinan tidak dapat diteruskan untuk separuh tahun kedua 2020. - DagangNews.com