Pendapatan operasi bersih Maybank merosot 5.2% kepada RM6.75 bilion pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan operasi bersih Maybank merosot 5.2% kepada RM6.75 bilion pada 3QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Pendapatan operasi bersih Malayan Banking Berhad (Maybank) merosot 5.2% kepada RM6.75 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) daripada RM7.1 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Maybank berkata kemerosotan tersebut diheret oleh penurunan pendapatan berasaskan dana bersih sebanyak 9% kepada RM4.81 bilion pada suku berakhir 30 September 2023 itu, berbanding RM5.29 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Ini menyebabkan margin faedah bersih (NIM) menyusut pada suku dalam tinjauan disebabkan persaingan pendanaan yang berterusan.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) pula, pendapatan operasi bersih kumpulan perbankan itu meningkat 3.6% kepada RM20.38 bilion, didorong oleh pendapatan bukan faedah (NOII) yang lebih tinggi sebanyak 37.8% kepada RM5.95 bilion berbanding tahun sebelumnya.

 

“Sementara itu, pendapatan berasaskan dana bersih lebih rendah sebanyak 6%, di mana NIM berkurangan 25 mata asas disebabkan kos pendanaan yang lebih tinggi diterajui oleh kenaikan kadar faedah pada tahun lalu dan persaingan deposit yang berterusan.

 

“Kos overhed meningkat kepada RM9.77 bilion daripada RM8.83 bilion setahun sebelumnya disebabkan kos kakitangan yang lebih tinggi; pembayaran berkaitan kad kredit disebabkan pengebilan lebih tinggi; susut nilai aset ROU (hak penggunaan) dan kos berkaitan IT.

 

“Ini mengakibatkan penurunan sedikit dalam keuntungan operasi praperuntukan (PPOP) kumpulan sebanyak 2.1% kepada RM10.6 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, peruntukan penjejasan nilai bersih jatuh 53.4% kepada RM1.2 bilion berikutan hapus kira dalam pelaburan kewangan dan lain-lain sebanyak RM152.5 juta dan peruntukan pinjaman bersih yang lebih rendah 27.6% kepada RM1.36 bilion untuk hapus kira bagi peminjam korporat, pemulihan dan baki penjejasan yang stabil.

 

Akibatnya, kadar caj kredit bersih untuk pinjaman dikurangkan kepada 31 mata asas daripada 45 mata asas pada tahun sebelumnya.

 

Nisbah pinjaman terjejas kasar merosot 27 mata asas kepada 1.43% daripada 1.7% setahun sebelumnya, manakala perlindungan kerugian pinjaman mengukuh kepada 127.1% dalam tempoh sembilan bulan daripada 122.3% berbanding tahun sebelumnya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli berkata cabaran global masih kekal tetapi Maybank akan terus mengejar peluang untuk pertumbuhan berpandukan strategi korporatnya merentasi semua pelanggan dan segmen perniagaannya dalam operasinya di ASEAN, mengekalkan kedudukan mudah tunainya, memperbaiki kualiti asset dan mengekalkan tahap modal yang kukuh.

 

“Di waktu kami memperdalam pelaksanaan strategi M25+, ditambah pula dengan cara kerja yang tangkas, kami telah mengorak langkah yang menggalakkan dalam membentuk Maybank untuk berpandangan ke hadapan, inovatif dan mementingkan pelanggan semasa mengharungi landskap operasi yang sentiasa berubah,” ujar beliau.

 

Khaurussaleh berkata kumpulan itu akan terus memacu pendigitalan dan kecekapan operasi serta membina momentum untuk pertumbuhan masa depan yang dirangsang oleh 12 Program Strategik (SP) di bawah strategi M25+ dan pelaburan yang disasarkan.  - DagangNews.com