Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Prestasi penjualan dan pendapatan syarikat barangan isi rumah Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad (Panasonic) dijangka lebih rendah untuk tahun kewangan 2021 (FY21) berbanding prestasi tahun kewangan 2020.
MIDF Research berkata, jangkaan itu dibuat meskipun pihaknya menjangkakan pemulihan pada suku berikutnya ketika pembukaan semula sektor ekonomi.
"Kami menjangkakan hasil (Panasonic) pada tahun kewangan 2021 akan mencatatkan penjualan dan pendapatan yang lebih rendah dibandingkan dengan tahun kewangan 2020 memandangkan pandemik masih berpanjangan dan mengganggu permintaan.
"Kami juga berpendapat bahawa prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dalam tempoh wabak mampu mempengaruhi kelancaran operasi," jelas MIDF Research dalam nota kajiannya hari ini.
Panasonic mencatatkan jumlah pendapatan bersih sebanyak RM41.6 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021.
Pendapatan bersih bagi suku kedua 2021 melonjak sebanyak 42.2% berbanding tahun lalu kepada RM43.8 juta di samping peningkatan pendapatan sebanyak 1.9% tahun ke tahun kepada RM294.0 juta.
Bagaimanapun, jumlah pendapatan bersih pada separuh pertama 2021 menurun sebanyak -26.5% tahun ke tahun kepada RM41.6 juta seiring dengan penurunan pendapatan sebanyak -22.7% (RM448.1 juta).
Meskipun mencatatkan peningkatan pada suku kedua tahun kewangan 2021, keuntungan bersih dan penjualan yang terkumpul dilihat terjejas oleh wabak COVID-19.
Penjualan domestik dan eksport ke negara-negara ASEAN memberi kesan negatif susulan perintah berkurung di bandar-bandar utama.
Segmen produk pengguna mencatatkan penurunan keuntungan sebelum cukai sebanyak 039.3% berbanding tahun lalu kepada RM15.9 juta.
Sementara itu, segmen PBT perkakasan rumah juga turun sebanyak -30.2% tahun ke tahun kepada RM10.2 juta.
Sementara itu, CGS-CIMB Research pula memberitahu, meskipun Panasonic mencatatkan peningkatan dalam penjualan untuk tempoh suku kedua 2021, pihaknya tetap berhati-hati terhadap kelangsungan penjualan Panasonic kerana pembelian produknya dianggap pembelian item yang besar dan mengikut budi bicara.
"Kami tidak membuat perubahan dalam ramalan pendapatan Panasonic. Kami mengulangi saranan 'pegang' saham Panasonic dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih tinggi bernilai RM33.00," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com