Pendapatan pelaburan KWSP meningkat 39.74% kepada RM33.19 bilion pada separuh pertama 2023 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan pelaburan KWSP meningkat 39.74% kepada RM33.19 bilion pada separuh pertama 2023

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2023, meningkat 39.74% atau RM9.44 bilion berbanding RM23.75 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama 2022.

 

Jumlah itu adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh berkenaan.

 

Pengurus dana persaraan itu berkata, daripada jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, RM4.79 bilion mewakili keuntungan 'mark-to-market' (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.

 

Ia berkata, keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran mata wang asing.

 

Pada suku kedua 2023 pula, jumlah pendapatan pelaburan KWSP adalah sebanyak RM18.03 bilion, meningkat RM9.05 bilion berbanding RM8.98 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

 

Pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi suku kedua 2023 pada RM9.6 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi pasaran ekuiti global pada separuh pertama 2023 adalah positif, diterajui oleh pasaran maju, khususnya di Amerika Syarikat (AS) yang terus menunjukkan daya tahan walaupun kadar faedah meningkat.

 

 

kwsp
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

 

 

Beliau berkata, ketangkasan dan kebolehsuaian KWSP dalam strategi pelaburannya membuka ruang kepada pengurus pelaburan untuk memanfaatkan peningkatan pasaran, sekali gus menyumbang kepada pulangan yang lebih tinggi daripada ekuiti dalam tempoh itu.

 

Katanya, ia berbeza dengan prestasi pasaran ekuiti yang dilihat pada separuh pertama 2022, yang menyaksikan beberapa indeks mengalami kemerosotan yang ketara, dengan kebanyakan pasaran termasuk AS mencatatkan prestasi separuh pertama terburuk mereka dalam beberapa dekad.

 

"Bagi Malaysia, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.6% pada suku pertama 2023 telah melangkaui jangkaan, didorong khususnya oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan dalam pasaran pekerjaan.

 

"Pertumbuhan yang berdaya tahan telah meredakan keadaan kewangan yang ketat, seterusnya memberikan ruang kepada pasaran modal domestik," katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

 

Instrumen pendapatan tetap, yang berfungsi sebagai pengekalan modal, terus menjadi tunjang kepada KWSP dan memberikan aliran pendapatan yang stabil kepada pendapatan keseluruhan KWSP, dengan kelas aset itu yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS) serta pinjaman dan bon, menyumbang 27% atau RM4.83 bilion kepada jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua 2023.

 

Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan RM2.72 bilion, manakala pendapatan daripada instrumen pasaran wang menjana RM0.88 bilion, sejajar dengan jangkaan kelas pulangan itu. - DagangNews.com