KUALA LUMPUR 15 Nov - Pendapatan Petronas Gas Bhd (PGB) dijangka kekal terjejas oleh kenaikan harga gas bahan api bagi tahun ini, di samping terpaksa membayar Cukai Makmur, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research).
Selain itu, HLIB Research berkata pendapatan pengangkutan gas dan pengegasan semula PGB mungkin akan diselaraskan ke bawah di bawah tarif Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) akan datang.
“Permintaan untuk gas dan utiliti dijangka terus bertambah baik dengan pemulihan ekonomi.
"Pendapatan pemprosesan gas sebahagian besarnya akan bertahan hingga suku berikutnya, dilindungi di bawah kontrak jangka panjang sedia ada dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
"Walaupun prospek pengangkutan gas dan pengegasan semula jangka panjang dilindungi di bawah struktur asas aset terkawal (RAB), pendapatan jangka pendek kekal terjejas oleh penggunaan gas dalaman (IGC) yang lebih tinggi dan peningkatan harga gas bahan api sebelum dipulihkan dalam tempoh semakan berikutnya untuk RP2 (2023-2025)," katanya dalam nota hari ini.
Bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2022 (Q3FY22), PGB melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM507.6 juta.
HLIB Research berkata, tidak termasuk anggaran RM90 juta impak negatif daripada Cukai Makmur pada 33 peratus dan RM117.7 juta dalam kerugian pertukaran asing tidak direalisasi dalam tempoh sembilan bulan, ia menganggap keputusan itu mencapai jangkaannya (77.8 peratus) tetapi melebihi konsensus ( 80.1 peratus).
HLIB Research mengekalkan saranan 'Pegang' ke atas PGB dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM17.85.
“Kami menjangkakan PGB akan terus mengekalkan pembayaran dividennya memandangkan kedudukan tunai bersih semasa yang tinggi sebanyak 89.0 sen sesaham.
"Kami menjangkakan pendapatan PGB akan kekal terjejas oleh peningkatan kos gas bahan api dalam tempoh terdekat, di samping impak Cukai Makmur untuk tahun ini serta ketidaktentuan pada struktur tarif baharu di bawah RP2 2023–2025," tambahnya. - DagangNews.com