Pendapatan PPB Group dijangka semakin baik dalam separuh kedua 2023 disokong harga, permintaan lebih kukuh – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan PPB Group dijangka semakin baik dalam separuh kedua 2023 disokong harga, permintaan lebih kukuh – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Sept - Pendapatan PPB Group Berhad dijangka lebih kukuh dalam separuh kedua 2023 berikutan harga dan permintaan lebih kukuh, serta kos input berkurangan, walaupun keuntungan bersihnya bagi separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) akibat kelemahan harga komoditi.

 

Kenanga Research berkata keuntungan bersih kumpulan itu dianggap dalam jangkaan dengan merangkumi 43% anggaran tahun penuhnya namun di bawah anggaran konsensus pada 29%.

 

Firma penyelidikan tersebut menjangkakan operasi PPB Group sendiri dan syarikat bersekutunya, Wilmar International Ltd semakin baik pada 2HFY23 atas beberapa faktor di atas.

 

Jelasnya, jangkaan tersebut konsisten dengan panduan Wilmar International, didorong oleh kos input yang lebih mudah, kestabilan harga jualan dan pemulihan permintaan berterusan walaupun lebih perlahan daripada yang dijangkakan.

 

“Pendapatan bijirin dan perniagaan tani PPB Group sendiri bagi 2HFY23 daripada pengilangan tepung dan makanan ternakan harus terus bertambah baik walaupun pemulihan permintaan lebih perlahan daripada jangkaan, diimbangi oleh penambahbaikan margin berikutan penurunan harga bahan mentah seperti gandum dan jagung.

 

“GSC (Golden Screen Cinemas Sdn Bhd) dijangka terus pulih dengan baik disokong  trend menaik pendapatan yang berkemungkinan berlaku pada 2HFY23 dan FY24.

 

“Unit hartanah berkemungkinan memperoleh pendapatan yang lebih baik hanya pada FY24, apabila projek hartanah baharunya di Kedah dijadualkan untuk pelancaran,” kata Kenanga Research dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Walaupun unjuran keuntungan bersih PPB Group pada FY23 dan FY24 masing-masing dikurangkan sebanyak 4% dan 1%, firma itu berkata ia terus menyukai kedudukan kukuh perniagaan kumpulan dalam keperluan pengguna seperti tepung, makanan, produk sedia untuk dimakan serta hiburan massa di ASEAN.

 

Melalui Wilmar International, firma itu berkata kumpulan itu juga menikmati pendedahan kepada pasaran pengguna Cina dan India. Kunci kira-kira kukuh dan pemulihan FY24 masih dalam jangkaan.

 

Justeru, Kenanga Research mengekalkan saranan ‘outperform’ dan harga sasaran (TP) RM19.30 sesaham.

 

Saham PPB Group telah menokok 4 sen atau 0.3% kepada RM15.76 pada waktu penulisan, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM22.4 bilion. Bagi tahun ini, saham kumpulan telah merosot 8.2% setakat ini.  - DagangNews.com