Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Dis - Untung bersih Top Glove Corp. Bhd. susut mendadak kepada hanya RM185.72 juta bagi suku pertama berakhir 30 November 2021 berbanding RM2.36 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan bagi tempoh itu juga merosot kepada RM1.58 bilion daripada RM4.76 bilion, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Bagi suku ke suku, pendapatan juga susut 24% daripada RM2.08 bilion pada suku keempat berakhir 31 Ogos 2021 dengan keuntungan selepas cukai susut 57% kepada RM202 juta.
Prestasi sukuan yang lebih lemah pada suku pertama itu disebabkan terutamanya penurunan harga jualan purata (ASP) dan kos operasi lebih tinggi hasil daripada kadar penggunaan yang lebih rendah.
Kos bahan mentah pula adalah lebih perlahan berbanding ASP sarung tangan getah, sekali gus menjejaskan keuntungan.
Bagaimanapun, lebihan bekalan sarung tangan mungkin akan diimbangi sebahagiannya, oleh pertumbuhan yang stabil dan konsisten dalam permintaan sarung tangan global.
Permintaan sarung tangan yang terus didorong oleh asas pasaran yang kukuh, telah berkembang pada kadar 10% setiap tahun sebelum COVID dan dijangka meningkat lagi walaupun selepas wabak itu surut, berikutan penggunaan sarung tangan dan kesedaran kebersihan yang semakin meningkat.
Di samping itu, kumpulan sedang memperoleh semula eksportnya dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) secara beransuran, yang dijangka meningkatkan pendapatan jualan pada suku-suku tahunan yang datang.
Mengimbangi lagi keadaan, harga bahan mentah berada pada aliran menurun suku ke suku, dengan harga purata lateks asli melemah sebanyak 8% kepada RM5.09/kg.
Sementara itu, harga lateks nitril menurun sebanyak 19% kepada AS$1.79/kg dan dijangka terus menurun pada peratusan yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Namun, selaras dengan komitmennya untuk mencipta nilai bagi kira-kira 138,000 pemegang saham awam syarikat, Top Glove mengisytiharkan pembayaran dividen sebanyak 1.2 sen sesaham biasa, berjumlah RM96 juta sejajar dengan polisi dividen syarikat.
Tarikh akhir dividen adalah pada 24 Disember 2021 manakala tarikh pembayaran adalah pada 10 Januari 2022.
Mengulas mengenai prestasi kewangan kumpulan, Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow berkata, walaupun sedang menghadapi tempoh yang sukar, tetapi masih terdapat peluang, selagi mereka terus kekal sihat dan mengekalkan pandangan positif masa depan.
"Setelah berada dalam industri sarung tangan selama 30 tahun, kami tahu ini adalah sebahagian daripada kitaran perniagaan dan telah bersedia untuk menghadapinya.
"Kami telah membina simpanan kami sejak 2 tahun kebelakangan ini yang akan membolehkan kami mengharungi masa sukar ini dan juga memanfaatkan sebarang peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang mungkin timbul," jelasnya dalam kenyataan berasingan.
Beliau berkata, kumpulan menjangkakan persekitaran perniagaan akan lebih mencabar dalam jangka masa terdekat, memandangkan persaingan terus meningkat di tengah-tengah permintaan sarung tangan yang semakin menyederhana.
Bagaimanapun, katanya, Top Glove tetap optimis terhadap prospek industri, memandangkan permintaan global terhadap sarung tangan sebagai barangan keperluan asas akan terus berkembang pada kadar lebih daripada 10% setahun walaupun selepas pandemik ini surut.
"Cabaran bukan dalam kawalan kami dan cara untuk menguruskannya dengan baik adalah dengan memberi tumpuan kepada faktor dalaman.
"Oleh itu, kami akan terus meningkatkan kualiti dan kecekapan kami melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), program peningkatan dan teknologi canggih, di samping memperdalamkan komitmen kami terhadap kelestarian," katanya.
Setakat 2.05 petang ini, saham Top Glove susut 3 sen atau 1.24% kepada RM2.38 dengan 10.46 juta saham diniagakan. - DagangNews.com