Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Dis. - Prestasi pendapatan syarikat pemaju hartanah, SP Setia Berhad (SP Setia) dijangka meningkat menjelang tahun kewangan 2021 (FY21).
MIDF Research berkata, jangkaan itu dinilai berdasarkan kepada pemulihan pendapatan daripada kesan buruk kemajuan pembinaan yang tertangguh semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Selain itu, kami menjangkakan margin keuntungan akan stabil pada tahun kewangan 2021 kerana kos penjualan yang lebih tinggi telah mengheret pendapatan pada sembilan bulan pertama 2020 susulan penjualan campuran produk yang lebih tinggi dengan margin yang lebih rendah.
"Semantara itu, kami berpendapat bahawa pendapatan pada tahun kewangan 2021 tidak mungkin akan terjejas susulan kemerosotan nilai kerana SP Setia telah melakukan 'kitchen-sinking' pada tahun kewangan 2020," jelas MIDF Research.
'Kitchen-sinking' adalah istilah yang diberikan kepada strategi syarikat untuk pengumuman keputusan kewangan terburuk yang pernah dilalui.
Dalam sesi pertemuan maya bersama SP Setia, MIDF Research turut dimaklumkan berkaitan perancangan syarikat berkenaan pada tahun kewangan 2021 untuk terus menumpukan perhatian kepada projek di Malaysia khususnya di Setia Alam, Bandar Kinrara dan Alam Impian.
SP Setia juga ingin memperluas operasi syarikatnya di luar negara dengan mempertimbangkan penambahan bank tanah di Melbourne atau Sydney, Australia.
Dalam pertemuan sama, syarikat berkenaan terus menunjukkan keyakinan untuk mencapai sasaran penjualan baharu sebanyak RM3.8 bilion bagi tahun kewangan 2020.
Hingga Oktober 2020, syarikat berkenaan berjaya mencatatkan penjualan sebanyak RM2.86 bilion.
Keyakinan untuk mencapai sasaran RM3.8 bilion tersebut turut didorong oleh jangkaan penjualan baharu yang tinggi pada suku keempat tahun kewangan 2020.
"Selepas mesyuarat, kami tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan pendapatan kami terhadap SP Setia.
"Dengan mengekalkan saranan 'beli' saham SP Setia, kami menyemak semula harga sasaran sesaham (TP) SP Setia kepada RM1.24 berbanding RM0.84 pada sebelumnya," jelas MIDF Research lagi. - DagangNews.com