Pendapatan tanpa faedah lonjak hasil 1H21 Alliance Bank | DagangNews Skip to main content

Pendapatan tanpa faedah lonjak hasil 1H21 Alliance Bank

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) mencatatkan hasil kumpulan syarikat sebanyak RM896.1 juta bagi separuh pertama tahun 2021 (1H21) yang berakhir 30 September lalu.

 

Nilai itu melonjak 7.6% berbanding tempoh sama pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Bagi tempoh sama, Alliance bank mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai bernilai RM208.3 juta, meningkat daripada RM192.2 juta pada tahun sebelumnya.

 

Ini didorong oleh pertumbuhan pendapatan tanpa faedah yang melonjak sehingga 28.4% berbanding tempoh sama pada tahun lalu kepada RM229.5 juta ekoran pendapatan perbendaharaan lebih tinggi dan peningkatan pengurusan harta serta brokeraj.

 

Bagaimanapun, bagi suku kedua tahun kewangan 2021 (2Q21), keuntungan bersih Alliance Bank merudum daripada RM115.5 juta pada 2Q20 kepada RM103.94 juta.

 

Alliance Bank dalam sebuah kenyataan berkata, kos kredit bersih mencatatkan 56.3 mata asas (bps) bagi 1H21 di mana 48 bps bernilai RM209 juta merupakan pengurusan ‘overlay’ untuk mengatasi ketidaktentuan impak pandemik COVID-19.

 

“Mudah tunai (liquidity) dan kedudukan modal syarikat kekal kukuh. Nisbah ekuiti Tier-1 (CET 1) berada pada kadar 15.4%, nisbah Modal Tier-1 (16.3%) dan nisbah jumlah modal (20.7%).

 

“Kumpulan syarikat tidak mengisytiharkan dividen interim pertama pada 2Q21 dan akan mempertimbangkan cadangan dividen pada masa hadapan apabila impak ekonomi daripada COVID-19 berkurang,” kata Alliance Bank.

 

Dari segi bantuan kewangan dan bukan kewangan kepada pelanggan, Alliance Bank telah menyediakan RM5 bilion di bawah bantuan bersasar pada 1H21 kepada pelanggan individu dan perniagaannya.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.1 bilion merupakan moratorium pinjaman atau pembiayaan yang dilanjutkan selama tiga bulan dan RM2.9 bilion pula termasuk dalam Pakej Bantuan Pembayaran dengan kadar kelulusan 98%.

 

Joel Kornreich
Joel Kornreich

 

"Kami terus menumpukan dua kunci keutamaan iaitu membantu pelanggan untuk terus bertahan ketika pandemik dan mempercepat insiatif pendigitalan bagi meningkatkan skala dan mencapai lebih ramai pelanggan, menambah baik penglibatan pelanggan serta memacu keberkesanan kos lebih baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich. – DagangNews.com