Pendapatan VS Industry diunjur terus lemah ekoran penyusutan permintaan daripada pelanggan utama, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan VS Industry diunjur terus lemah ekoran penyusutan permintaan daripada pelanggan utama, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Dis - Pendapatan VS Industry Berhad dijangka terus lemah pada suku tahun akan datang ekoran penyusutan permintaan daripada pelanggan utama.

 

RHB Investment berkata, perkara itu mungkin berpunca daripada sentimen pengguna yang lemah di peringkat global berikutan pelbagai cabaran makroekonomi.

 

Katanya, kumpulan itu itu sedang berbincang dengan bakal pelanggan yang boleh meningkatkan jualan mereka pada FY24 sekiranya semuanya berjalan lancar.

 

"Kami percaya permintaan keseluruhan akan pulih secara beransur-ansur ke arah 2HFY24 memandangkan potensi peningkatan dalam persekitaran makroekonomi dan pelarasan inventori akan berakhir," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN:VS Industry catat untung bersih 19.3% lebih rendah pada RM49.98 juta bagi 1QFY24 kesan penurunan tempahan pelanggan utama

 

Terdahulu, pada suku berakhir 31 Oktober 2023 ini, VS Industry mempunyai pendapatan sesaham (EPS) lebih rendah pada 1.27 sen berbanding 1.58 sen tahun lepas.

 

Sementara itu, pendapatannya bagi suku dalam tinjauan merosot 10.9% kepada RM1.15 bilion daripada RM1.29 bilion sebelumnya.

 

Walaupun pendapatan suku tahunan lebih rendah, penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) berkenaan mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.3 sen sesaham, yang akan dibayar pada 8 Mac 2024.

 

Firma penyelidikan itu menyemak turun unjuran pendapatan FY24-FY26 antara 4% hingga 20% selepas mengambil kira faktor tempahan yang rendah selain semakan semula daripada pengurusan.

 

"Kami mengekalkan sarnan neutral dengan harga sasaran (TP) 81 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com