Pendapatan Yinson diunjur berkurangan kesan sumbangan rendah daripada aktiviti EPCIC | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Yinson diunjur berkurangan kesan sumbangan rendah daripada aktiviti EPCIC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mac - Pendapatan Yinson Holdings Bhd diunjur berkurangan disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada aktiviti perniagaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC).

 

CIMB Securities berkata, laporan pendapatan pasca suku keempat, mereka menaikkan unjuran keuntungan bersih teras syarikat untuk tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak 34% selepas mengambil kira baki kerja EPCIC.

 

Mereka bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY26 dengan andaian tiada pertambahaan pekerjaan bagi perkhidmatan EPCIC daripada projek pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) baharu.

 

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan keuntungan bersih teras FY25 hingga FY26 kumpulan akan merosot pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) dua tahun sebanyak 12%, disebabkan penurunan dalam sumbangan EPCIC, sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan pengeluaran daripada FPSO Atlanta dan Maria Quiteria," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sumbangan pendapatan EPCIC Yinson telah merosot sejak suku ketiga 2024.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan keuntungan bersih teras FY25 kumpulan itu akan jatuh sebanyak 19.8% tahun ke tahun dan susut lagi sebanyak 4.2% pada FY26 selepas selesai pengeluaran FPSO PTSC Lam Son pada akhir 2024,” katanya.

 

Bagaimanapun, sebahagiannya akan diimbangi oleh sumbangan pengeluaran FPSO Atlanta yang belayar ke Brazil pada 21 Mac 2024 dengan minyak pertama disasarkan pada pertengahan 2024.

 

Apabila mencapai minyak pertama, syarikat penyelidikan itu berkata, kontrak 15 tahun dengan pilihan tambahan lima tahun akan segera dimulakan dengan jumlah nilai kontrak sehingga AS$2 bilion.

 

FPSO Maria Quiteria juga disasarkan belayar dari Shanghai pada suku kedua 2024 dan mencapai minyak pertama pada suku ketiga tahun ini.

 

CIMB Securities mengunjurkan FPSO Atlanta untuk menyumbang kira-kira 10% daripada pendapatan Yinson untuk FY25 hingga FY27, manakala 15% secara purata daripada FPSO Maria Quiteria.- DagangNews.com