Pendeposit Tabung Haji perlu semak status akaun | DagangNews Skip to main content

Pendeposit Tabung Haji perlu semak status akaun

Lembaga Tabung Haji (TH)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) dinasihatkan untuk menyemak status akaun masing-masing bagi mengelak daripada diklasifikasikan sebagai tidak aktif.

Tabung Haji berkata, saranan tersebut dikhususkan kepada pendeposit yang tidak melakukan transaksi selama lebih dari tujuh tahun berturut-turut sejak 2013.

"Simpanan di akaun yang tidak aktif masih boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit apabila mereka mengaktifkan semula akaun mereka.

"Pendeposit hanya perlu melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran," jelas Tabung Haji dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tabung Haji, traksaksi tersebut boleh dilakukan menerusi kaunter, secara dalam talian dan mesin ATM/CDM.

Selain itu juga, pendeposit boleh melakukan transaksi melalui rakan strategik Tabung Haji seperti Bank Islam, Maybank, Bank Rakyat dan CIMB.

Status aktif pada akaun pendeposit sangat penting bagi memastikan mereka boleh menerima faedah daripada simpanan yang dibuat.

"Pendeposit Tabung Haji perlu sentiasa memastikan status akaun mereka aktif.

"Dari situ mereka akan dapat menerima faedah simpanan seperti simpanan dijamin kerajaan, pengagihan keuntungan, pembayaran zakat, patuh syariah dan pengecualian cukai," tambah Tabung Haji lagi.

Selain itu juga, status aktif pada akaun juga membolehkan pendeposit mengambil bahagian dalam kempen simpanan atau pendaftaran selain berpeluang memenangi hadiah.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) 03-62071919 untuk tujuan berkenaan dan perkhidmatan lain. - DagangNews.com